Archive

Archive for the ‘Pengurusan Kewangan’ Category

LRT dipanjangkan ke Subang Jaya-USJ dan Kinrara-Puchong

August 30th, 2008 md 2 comments

Tentu berita baru dari laporan Bajet 2009 akan menggembirakan penduduk-penduduk Subang Jaya, USJ, Kinrara dan Puchong.

Apa tidaknya, projek memanjangkan landasan bagi kemudahan LRT laluan Ampang akan dipanjangkan ke Subang Jaya-USJ dan Kinrara-Puchong.

Read more…

Was-Was

February 25th, 2008 md No comments

Was-was kalau ditakrifkan dalam bahasa mudah membawa maksud keadaan yang keliru, buntu, ragu-ragu dan tidak mempunyai keputusan yang muktamad.

Banyak perkara yang menjadi was-was bila kita tidak cukup ilmu dan pegangan (pengalaman) yang kukuh. Terutama bila melibatkan perkara yang bersangkutan dengan syariah dan muamalat.

Baru-baru ini, saya ditawarkan oleh seorang pegawai bank yang sedang memproses permohonan pinjaman perumahanan untuk rumah yang saya  ingin beli di Kg. Datuk Keramat. Beliau menawarkan sebuah pangsapuri kos rendah di Bandar Baru Ampang dengan harga RM60,000. Penyewa sekarang membayar RM500 untuk sewa bulanan. Memang tawaran yang sangat menarik, kerana harga pasaran pangsapuri di kawasan berkenaan mencecah RM75,000.

Memandangkan rekod kredit saya (CCRIS/CTOS) baik, surat tawaran pinjaman dari “cimbeng islamic” disiapkan tidak sampai sebulan pun. Saya semak jadual bayaran bulanan (RM307 tahun pertama, RM426 tahun kedua dan RM467 tahun ketiga dan seterusnya), terma dan syarat pinjaman lalu saya “sign” surat tawaran tersebut.

2-3 hari selepas itu, kebetulan isteri saya ada temujanji pemeriksaan kandungan (hehehe.. bayi ke 5 kami :) ) di hospital Ampang Puteri, jadi saya ajak beliau untuk tinjau “property” yang saya dapat tu selepas pemeriksaan beliau berakhir. Kami pun menyusuri jalan Ampang untuk ke Bandar Baru Ampang, mencari Apartment Sri Nilam dan bertemu dengan lokasi blok apartment yang kami cari.

Sebaik selamat memakir (park) kereta, kami pun mencari-cari lif untuk naik ke tingkat 11 apartment berkenaan. Keadaan sekeliling saya fikir sama saja di mana-mana apartment kos rendah. Tidak bersih, berbau, dan laluan yang sempit. Alangkah tidak selesa jika kediaman kami sekeluarga di tempat sebegini, bersyukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah rezeki dan rahmatnya, kami dapat tinggal di tempat yang lebih selesa dan teratur.

Dipendekkan cerita, akhirnya kami berjumpa juga dengan apartment yang dicari. Nampak bersih di luar, jeriji besi telah siap terpasang. Usia apartment ni, lebih kurang 6 tahun, jadi masih baik keadaannya. Memandangkan tiada penghuni ketika itu (waktu bekerja), jadi isteri saya bertanyakan jiran sebelah yang kebetulan sedang memasak. Kami bertanya adakah penyewa di situ? sebab nampak tiada kasut atau selipar di luar rumah. Jiran tersebut tidak pasti sebab setahu beliau, rumah tersebut tiada penghuni. Terus perasaan saya mula risau. Mengikut maklumat yang diberitahu oleh pegawai bank yang menawarkan rumah berkenaan, telah ada penyewa yang membayar RM500 sebulan di rumah berkenaan. Itu yang membuatkan saya berminat.

Saya segera menghubungi pemilik apartment berkenaan untuk mengetahui situasi sebenar. Rupa-rupanya, apartment beliau disewa oleh sebuah pemaju projek perumahan (katanya) sejak dari awal mendapat kunci lagi. Sewa bulanan sekitar RM400 sahaja, ditolak dengan kos penyelenggaraan apartment, dapatlah sekitar RM350 sebulan. Sekali lagi, hati saya berasa was-was untuk meneruskan niat membeli apartment ini. Apa tidaknya, bayaran bulanan bermula tahun ketiga pinjaman perumahan nanti dalam RM470 sebulan. Jika dapat naikkan sewa selepas 2 tahun sekalipun, saya tak fikir boleh dapat untung. Biasalah, pinjaman islamik kadar keuntungan yang ditetapkan oleh bank lebih tinggi berbanding pinjaman konvensional.

Balik dari tinjauan lokasi, saya dan isteri memutuskan untuk menolak tawaran tersebut walaupun “offer letter loan” telahpun saya perolehi. Mungkin bukan rezeki kami kali ini. Saya telahpun memberitahu rakan-rakan lain yang berminat, kalau-kalau mereka ingin membuat pelaburan. Ada orang yang sanggup simpan sementara aset seperti ini dan akan dijual semula beberapa tahun akan datang dengan harga yang lebih tinggi. Saya tak sanggup tunggu selama itu. Jenis pelaburan yang saya cari ialah mempunyai pulangan segera yang halal :)

Categories: Pengurusan Kewangan Tags:

Koperasi Permodalan Felda

January 7th, 2008 md 20 comments

Baru-baru ini, saya terjumpa satu thread perbincangan berkenaan dividen yang lumayan (14~15% setahun) yang dibayar oleh KPF (Koperasi Permodalan Felda) kepada ahlinya.

Selama ini, saya fikirkan hanya Bank Rakyat sahaja yang mampu membayar dividen setinggi itu. Rupa-rupanya saya terlepas pandang rezeki di depan mata.

Apa tidaknya, ayah saya ialah seorang peneroka felda, bukan baru, sejak dari tahun 1972 lagi. Memang saya tahu ayah saya ada mencarum sejumlah wang dalam KPF, tapi tidaklah banyak. Mungkin juga sebab tiada dorongan dan jumlah kewangan yang banyak juga kerumitan untuk urusan menambah modal menyebabkan ayah saya tidak terlalu beria-ia untuk menjaga portfolio pelaburan KPFnya.

Lantas dengan bantuan Internet dan Pelayar web, saya melayari laman http://www.felda.net.my/KPF/ untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan KPF. Ooo La La!.. rupa-rupanya anak peneroka juga boleh menjadi ahli!. Ini sudah bagus, tambahan pula, portfolio pelaburan KPF adalah dalam sektor yang diluluskan oleh syariah!. Jadi tak perlu lah saya was-was lagi.

Sekembali ayahanda saya dari mengerjakan haji nanti (23 Januari), bolehlah saya pinjam kad pengenalan beliau sekejap :) untuk difotokopi. Lepas tu, saya akan isi borang keahlian dan akan mula mencarum untuk pelaburan jangka panjang, insyaAllah.

Categories: Pengurusan Kewangan Tags:

ASB – Halal atau Haram?

December 5th, 2007 md 9 comments

Saya fikir ramai di antara kita yang berminat untuk “membebaskan diri” dari masalah kewangan. Ramai juga yang mengikuti pelbagai kursus dan seminar tentang teknik-teknik untuk keluar dari masalah kewangan.

Yang terbaru saya temui ialah menggunakan ASB dan kemudahan Overdraf (OD) untuk merancang kebebasan kewangan peribadi. Saya ambil masa kira-kira 2 minggu untuk mengkaji dan mempelajari dari rakan-rakan yang mahir dalam hal ini untuk mengetahui teknik yang mereka gunakan. Memang tidak dinafikan, pakej ASB/OD ini sangat-sangat menggamit nafsu.

Apa tidaknya, simpanan anda dalam akaun ASB tidak terusik, namun anda diberikan “instant fund” yang boleh digunakan untuk menguruskan kewangan anda, baik untuk melangsaikan hutang, membuat pelaburan jangka pendek (seperti membeli saham, membeli benih tanaman, dll.) juga sebagai cara untuk membayar pinjaman ASB yang baru!. Semuanya dibuat menggunakan wang dari akaun OD anda. Bagaimana pula ianya menguntungkan?.

Atas perkiraan mudah dividen dan bonus ASB setiap tahun mencapai 8% berbanding dengan kadar faedah Overdraf sekitar BLR (Base Lending Rate semasa 6.75%) + 0% (tawaran terbaik dari sebuah bank merah-biru) maka secara congaknya, anda akan mempunyai margin keuntungan sekitar 1~1.50 % untuk tempoh 1 tahun. “Keuntungan” ini digunakan untuk membayar kembali kadar faedah tahunan overdraf yang telah digunakan sebelum ini.

Banyak forum dan blog yang menceritakan secara terperinci langkah-langkah bagaimana anda boleh gunakan teknik ini untuk memenuhkan akaun ASB anda (RM200K) dan dalam masa yang sama dapat membina kekayaan melalui pelaburan hartanah, perkhidmatan, pertanian dan perniagaan yang anda ingin ceburi. Ada juga yang menggunakan “keuntungan” ini untuk membeli kenderaan idaman mereka. Mereka akan tersenyum lebar membayar ansuran bulanan yang kurang dari jumlah dividen ASB atas pelaburan RM200K (sekitar RM16K setahun jika dikira atas dividen 8%)

Namun persoalan utama yang menjadi faktor penghalang saya meneruskan kaedah ini ialah berkenaan fatwa ASB itu sendiri adakah pelaburannya menurut syariah atau tidak. Carian ringkas (quick search) menemui beberapa jawapan yang cukup untuk memberi panduan untuk saya:

Persatuan Ulama’ Malaysia

Fatwa Negeri Selangor

Forum ustaz Zaharuddin

Forum Darulnuman

Perbincangan Isu ASB di Bicarajutawan

Forum perbincangan Sambest

Setelah membaca ulasan-ulasan dan pendapat-pendapat dari mereka yang arif, saya fikir bolehlah kita “Tepuk dada tanya Iman” :)

*** KEMASKINI ***

Majlis fatwa kebangsaan memutuskan Hukum melabur dalam ASB/ASN ialah Harus – rujuk posting ini (klik)

Categories: Pengurusan Kewangan Tags: