Sunday Breakfast Ride
Hari ahad minggu lepas (23 Mac 2008) saya dan rakan-rakan motor saya sempat beriadah bersama kenderaan roda dua kami dari Kuala Lumpur->Hulu Langat->Empangan Semenyih->Kuala Kelawang(Jelebu)->Simpang Durian->Telemong->Karak dan kembali ke Kuala Lumpur.

Seramai 11 peserta mengikuti program yang dinamakan “Sunday Breakfast Ride”. Acara dimulakan seawal jam 8 pagi, di mana kami berkumpul di dua tempat rendezvous (RV) iaitu satu di Restoran Pelita Ampang Point, dan kumpulan kedua di gerai bersebelahan masjid Bt. 14, Hulu Langat.
Perjalanan dari Hulu Langat ke Kuala Kelawang (tempat breakfast) mengambil masa kira-kira 1 jam setengah. Majoriti motorsikal yang digunakan ialah kategori “easy rider”, jadi kelajuan konvoi hanyalah sekitar 60 ke 80km/j sahaja.
“Route” ini adalah route kegemaran kami kerana jalannya yang baik, pemandangan sekitar yang mendamaikan serta kombinasi selekoh dan jalan rata yang menarik.
Selekoh-selekoh terutama dari pekan Hulu Langat ke Empangan semenyih amat-amat mendebarkan namun, dengan skil tunggangan masing-masing serta kadar kelajuan motorsikal yang agak perlahan, setiap selekoh dapat ditangani dengan selamat dan menyeronokkan.
Lebih kurang pukul 10 pagi, kami sampai ke Pekan Kuala Kelawang dan destinasi kami ialah ke Restoran Fatimah bersebelahan pejabat MARA Jelebu.

Setelah kenyang dengan hidangan yang dipesan. Kami meneruskan perjalanan ke pekan Karak pula melalui jalan kampung ke Simpang Durian->Telemong. Kali ini pemandangan lebih banyak kepada ladang getah dan kelapa sawit. Sekali-sekala konvoi kami dipotong oleh sekumpulan konvoi motorsikal lain yang lebih laju.
Kami sampai di Petronas Genting Sempah kira-kira jam 1.30 petang untuk berehat seketika membasahkan tekak sebelum bergambar kenangan dan berangkat pulang ke rumah masing-masing. Acara sebegini memang seronok dijayakan bersama-sama rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama. Setidak-tidaknya, ada aktiviti lain yang saya boleh buat selain berbicara tentang kerja
(saya tiada dalam gambar kerana “bertugas” mengambil gambar
)

Recent Comments