Archive

Archive for the ‘Hobi’ Category

Ride to Kuala Terengganu

July 22nd, 2009 md 9 comments

Dah lama tak buat posting kat sini. Since ada 3 blog ni (yang ni, rumah.net dan foto.deraman.com) bertambah lah sikit effort nak update content.

Sabtu dan Ahad lepas aku gi ride dengan member2 BMG dan ERU ke Kuala Terengganu.  Idea tu timbul masa kitorang buat sesi NOS (macam teh tarik session lah) dekat Bukit dukong 3 minggu lepas. Terasa lama betul tak ride jauh, itu yang idea gi Kuala Terengganu diutarakan.

Lipas (nickname dia dalam forum) panggil ride ni Ride Terjah..hahaha.. sebab main terjah je nak buat ride tanpa apa-apa planning. Patut ada 7 bikers yang follow, tapi 5 je dapat pegi.. lagi 4 orang naik kereta sebelah petang baru diaorang gerak.

Janji nak kumpul di BHP petrol station lepas tol gombak pukul 7.30pagi.. hampeh!.. pukul 8.30 pun takleh gerak lagi sebab ada yang terbabas tido sampai kena kejut ngan bini..haha..

Kesian dekat vespa (nickname dalam forum jugak), dia yang sampai paling awal (tak awal pun, 7.40am gitu) dan ingatkan dah terlewat. Terus dia “shoot” ke RnR LPT temerloh sebab kami dah cakap, sapa lewat jumpa di temerloh. Tak pasal2 dia kena tunggu kitorang dalam 1 jam setengah huhu..

Lepas dah sampai semua orang, dalam pukul 9.30 gitu, kami pun bertolak dari gombak menuju ke Lebuhraya Pantai Timur. Pagi tu cuaca berjerebu. Sedut udara pun macam tak berapa best je tekak rasa. Sampai kat temerloh, vespa dah lambai2 kat kami suruh park dekat motor dia. Rehat kejap, isi minyak penuh2, dan kami teruskan perjalanan ke Kuantan pulak.

Sampai Kuantan dalam pukul 12 tengahari. Aku ajak diaorang singgah ke rumah ayah aku, sebab memang on the way pun dari LPT exit Kuantan. Sempat la jamu nasi impit kuah lontong dengan sikit buah-buahan. Lepas dah kenyang, kitorang salam2 dan sambung lagi perjalanan untuk ke Pantai Kemasik ikut jalan tepi pantai Beserah->Kemaman->Pantai Kemasik.

Sampai kat pantai Kemasik dah nak masuk pukul 2.30pm. Perut pun tak berapa lapar sangat. Kitorang pesan sotong celup tepung dengan air je. Lepas tu borak2 sambil makan. Lepas solat zohor jamak dengan asar, kami ubah port pulak ke tepi pantai. Best betul duduk tepi pantai. Angin banyak, view pun cantik.

Seperkara yang best dekat pantai kemasik ni, toilet dan tempat persalinan kalau ada yang nak mandi memang bersih!. Siap ada 2 tempat persalinan dan toilet, satu dekat gerai makan dan satu lagi dekat tepi pantai. Aku kena puji management dia, sebab dah lebih 4 kali aku singgah, still sama kualiti dia. Hopefully boleh dikekalkan sampai bila-bila.

Lama jugak kitorang lepak tepi pantai tu sambil ambik gambar dan jalan-jalan kat tepi pantai. Nak mandi kang sangkut terus kat situ. Jauh lagi nak sampai kuala terengganu ni. Rasa-rasa dalam pukul 3.30pm gitu, kitorang pun bergerak untuk ke destinasi seterusnya iaitu Rantau Abang.

Sampai kat rantau abang dah nak pukul 5 petang. Isi minyak sekejap dekat stesen Petronas, dan kami sambung semula perjalanan untuk ke Pantai Kelulut. Port favorite untuk pekena keropok lekor dan air kelapa muda. Last year masa ride ramai-ramai pun kami berenti kat situ.

Pukul 6 petang gitu, kami sampai di pantai Kelulut. Tak bukak pulak gerai yang kami pernah singgah tahun lepas. Tak kisahlah, janji ada gerai lain bukak, kitorang park motor dan cross jalan besar untuk ke gerai tepi pantai. Tanpa buang masa, terus order keropok lekor sepinggan dan minuman kegemaran masing2.

Sambil layan Lipas buat lawak OKU, sambil baham keropok lekor panas. Fuh!..memang best gila dapat enjoy suasana petang macam tu. Perut kami memang dah super penuh dah sebenarnya.. Sejak dari Kuantan lagi di isi dengan makanan. Dah nama pun ride terjah, makan pun main terjah jugak lah..hahaha..

Tengok jam dah nak pukul 7.00 malam. Aku ajak diaorang gerak sebab takut tuan rumah homestay yang kami book kensel pulak booking kami. Ye lah, orang lain check-in pukul 2.00 petang. Kitorang nak check-in malam..hahaha.. nasib baik masa aku call awal petang tadi cakap yang kitorang sampai lewat sebab makan angin dan jalan-jalan. Tuan rumah tak kisah, nasib baik.

Sebelum nak bergerak, dapat SMS dari neknak (lagi nick kat forum), mintak tapaukan satar. Group yang naik kereta akan bertolak masa tu (pukul 7) dan jangka sampai pukul 12 malam. Takut kempunan tak dapat makan satar la tu..haha.. takde hal, memang dah dekat pun dengan gerai2 jual satar. Kitorang bungkus dalam RM16.00 (duit balance bayar makan keropok lekor). Banyak gila nampak makcik jual satar masukkan satar dalam plastik.

Dah siap semua, kami pun bertolak untuk ke Homestay di Kuala Ibai. Senang jugak nak cari direction dia, sebab tuan rumah dah SMS siang2. Malam tu, aktiviti takde apa sangat pun. Sebab dah letih dari siang naik motor dan makan-makan, malamnya kami berehat je kat rumah sambil tengok TV.

Geng yang naik kereta sampai pukul 12.30 malam dan mengadu lapar. Aku dengan Lipas volunteer pegi cari makanan. Nasib baik ada lagi gerai yang bukak. Kasi tapau tomyam, telur bungkus, kailan ikan masin dan daging masak merah untuk 7 orang makan. Kami berdua bantai kuey tiaw goreng sambil tunggu order siap.

Sampai je kat rumah, ada yang dah terlelap. Kejut semua bangun kecuali vespa yang dah ngantuk sangat. Masing2 makan macam adik beradik yang ditinggalkan mak bapak hahaha…

Masa diaorang dok tengah makan lagi, aku dah nampak toto cantik je terbentang kat tengah ruang tamu. Apa lagi, terus ambik bantal dan terus baring kat atas toto. Lepas abis makan, ada yang lepak kat veranda rumah. Pukul berapa diaorang tido pun aku tak sure, sebab aku dah tertido..huhu..

Esok pagi, lepas solat subuh, aku ajak gbumz (nick di forum jugak) breakfast nasi dagang dekat gerai Kak Pah di pantai batu buruk. Gerai ni memang famous. Tak heran kalau lewat sampai, licin!. Aku, gbumz dengan vespa je yang terjaga pagi tu, so kitorang bertiga je lah yang gi breakfast dulu.

Balik dari breakfast, time untuk mandi dan kemas2 barang. Yang group satu lagi baru nak bersiap-siap nak gi breakfast jugak. Lepas diaorang dah pegi, sambil tunggu vespa guna toilet, aku dah terlelap sekali lagi atas toto ..hahaha..penangan nasi dagang 2 pinggan.

Sedar je dari tidur.. tengok gbumz dengan vespa pun tengah layan mimpi jugak… tapi dua2 dah siap mandi dan tukar pakaian dah..ahhaa.. masa bila diaorang siap pun aku tak tau.. Terus aku capai towel, gi mandi. Dah siap mandi, perut rasa lapar balik..hahaha.. tengok kat dapur ada sebungkus tomyan semalam yang diaorang simpan untuk vespa. Masa tu gbumz dah celik mata, aku cakap jom panaskan tomyam ni.. nasik bung ada lagi sebungkus.. best jugak nih.

Dah siap panaskan tomyam, gbumz kejutkan vespa untuk makan sama-sama.. hahaha… nasik sebungkus kitorang share sikit sorang.. dah jadi macam nasik air bila campur dengan kuah tomyam.. huhu..tak kiralah.. janji boleh makan.. sedap jugakkkk…

Kira2 pukul 1 tengahari, baru diaroang yang gi breakfast lewat tadi balik. Rupanya lepas makan diaorang gi jalan-jalan ke Pasar Payang. Siap beli keropok lekor bungkus lagi. Nasib dia dah tanya awal2 kat kitorang, so semua dah dapat bungkusan masing2. Jimat masa.

Dah siap kemas-kemas semua, kami pun ready untuk bertolak balik ke KL. Dalam perjalanan ada singgah sekali lagi di Pantai Kemasik dan last sekali di RnR LPT temerloh. Sampai kat rumah dah pukul 11.30 malam.

Overall ride memang enjoy sebab kawan2 memang dah kenal rapat. Alhamdulillah, takde insiden yang tak diingini berlaku, dan semuanya selamat tiba ke rumah masing2.

Minggu ni, time to continue my work. Dah recharge “mood” masa kat Terengganu, sepatutnya lebih produktif lah..heheh.. tu cara aku reward myself… ride dan enjoy the event sambil2 tenangkan fikiran, dapat jugak tengok tempat orang dan ambik gambar2 menarik sebagai kenangan.

Categories: Motosikal Tags:

November Rain Ride to Cameron Highlands

December 2nd, 2008 md 2 comments

Sabtu lepas (29 November), saya ikuti konvoi bermotosikal ke Cameron Highlands. Mulanya tak jadi nak ikut, sebab ada kerja yang tak disiapkan lagi. Tapi mengenangkan kerja akan sentiasa tak siap dan tak semestinya akan siap kalau tak dibuat bersungguh-sungguh (hehehe.. alasan).

So, saya pun nekad nak “cabut” sekejap. Kalau ikut perancangan, konvoi akan berlepas dari RnR Sg. Buloh pada pukul 4.30 pagi. Kemudian berhenti untuk solat subuh dan breakfast di RnR Tapah. Masa mata saya celik kali pertama, jam dah pukul 4 pagi.. tapi mata rasa masih mengantuk.. so saya pejam sikit lagi sampai pukul 4.30 hehe..

Lepas mandi dan bersiap serba sedikit.. saya pun bertolak ke RnR Sungai Buloh dalam pukul 5 pagi. Kalau diaorang dah berlepas pun takpelah.. saya nak solat subuh dulu kat situ dan “catch-up” mereka di Tapah nanti. Kalau tak sempat jumpa di Tapah, next stop mereka ialah di Simpang Pulai.

Sampai saja di RnR Sungai Buloh, saya lihat banyak motor yang “familiar” di tepi gerai yang ada di situ. Hahaha… diaorang masih tak bertolak lagi rupanya.. ada yang masih belum sampai.. nasib baik la saya “tidur” puas-puas tadi.. kalau sampai awal pun, bukan boleh berlepas hehe.. Last-last kami solat subuh di situ dan bertolak lebih kurang jam 6.15 pagi ke RnR Tapah.

Sampai di RnR Tapah lebih kurang pukul 7.15 pagi. Ramainya orang kat situ.. nak cari meja kosong untuk breakfast pun susah.

Motor-motor kami di stesen Shell RnR Tapah.RnR Tapah

Lepas dah breakfast, dalam pukul 8.30 pagi.. kami pun bertolak ke Simpang Pulai untuk menunggu beberapa rakan dari Ipoh di sana. Lebih kurang pukul 10.30 pagi, kami pun bertolak naik ke Cameron Highlands melalui jalan Simpang Pulai.

Tiba di Cameron Highlands lebih kurang pukul 12.40 tengahari. Banyak kali jugak berhenti sebab ada yang nak bergambarlah, ada yang tunggu kawan yang bawak slow dan macam-macam hal lagi.

Memandangkan saya tak bercadang untuk bermalam bersama mereka, lepas solat dan lunch bersama-sama, saya memulakan perjalanan balik pada pukul 3.30pm. Masa tu dah mula hujan. Kabus tebal dan jalan licin. Berdebar-debar jugak masa bawak motor menuruni bukit. Dah la sorang-sorang hehe.. tapi alhamdulillah, saya selamat sampai ke tol Simpang Pulai kira-kira sejam selepas tu.

Dari tol simpang pulai, saya singgah sekejap di RnR Tapah untuk mengisi minyak dan membeli sedikit buah tangan. Lepas tu saya teruskan perjalanan ke KL dan sampai di tol Jalan Duta kira-kira jam 7.00 malam. Solat maghrib di situ dan teruskan lagi perjalanan sampai ke rumah.

So, lebih kurang 14 jam jugaklah saya ride hari tu.. walaupun letih tapi puas hati. Gambar2 ada di Flickr page saya.

Sunday Breakfast Ride

March 29th, 2008 md 2 comments

Hari ahad minggu lepas (23 Mac 2008) saya dan rakan-rakan motor saya sempat beriadah bersama kenderaan roda dua kami dari Kuala Lumpur->Hulu Langat->Empangan Semenyih->Kuala Kelawang(Jelebu)->Simpang Durian->Telemong->Karak dan kembali ke Kuala Lumpur.

group convoy

Seramai 11 peserta mengikuti program yang dinamakan “Sunday Breakfast Ride”. Acara dimulakan seawal jam 8 pagi, di mana kami berkumpul di dua tempat rendezvous (RV) iaitu satu di Restoran Pelita Ampang Point, dan kumpulan kedua di gerai bersebelahan masjid Bt. 14, Hulu Langat.

Perjalanan dari Hulu Langat ke Kuala Kelawang (tempat breakfast) mengambil masa kira-kira 1 jam setengah. Majoriti motorsikal yang digunakan ialah kategori “easy rider”, jadi kelajuan konvoi hanyalah sekitar 60 ke 80km/j sahaja.

“Route” ini adalah route kegemaran kami kerana jalannya yang baik, pemandangan sekitar yang mendamaikan serta kombinasi selekoh dan jalan rata yang menarik.

Berhenti di Empangan SemenyihSelekoh-selekoh terutama dari pekan Hulu Langat ke Empangan semenyih amat-amat mendebarkan namun, dengan skil tunggangan masing-masing serta kadar kelajuan motorsikal yang agak perlahan, setiap selekoh dapat ditangani dengan selamat dan menyeronokkan.

Lebih kurang pukul 10 pagi, kami sampai ke Pekan Kuala Kelawang dan destinasi kami ialah ke Restoran Fatimah bersebelahan pejabat MARA Jelebu.

Motor

Setelah kenyang dengan hidangan yang dipesan. Kami meneruskan perjalanan ke pekan Karak pula melalui jalan kampung ke Simpang Durian->Telemong. Kali ini pemandangan lebih banyak kepada ladang getah dan kelapa sawit. Sekali-sekala konvoi kami dipotong oleh sekumpulan konvoi motorsikal lain yang lebih laju.

Kami sampai di Petronas Genting Sempah kira-kira jam 1.30 petang untuk berehat seketika membasahkan tekak sebelum bergambar kenangan dan berangkat pulang ke rumah masing-masing. Acara sebegini memang seronok dijayakan bersama-sama rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama. Setidak-tidaknya, ada aktiviti lain yang saya boleh buat selain berbicara tentang kerja :)

(saya tiada dalam gambar kerana “bertugas” mengambil gambar :) )

Group Pic

Categories: Motosikal Tags:

Flickr

February 26th, 2008 md 1 comment

Saya ada beberapa akaun percuma Flickr (menggunakan akaun Yahoo!) untuk menyimpan beberapa koleksi gambar-gambar yang saya ambil dari kamera digital (Konica Minolta Dynax 7D, Maxxum 5D, Canon A540 dan kamera cap ayam 6.0megapixel :) ). Anda boleh lihat salah satu koleksi gambar saya di sini.

Saya suka mengambil gambar, satu hobi sejak dari zaman persekolahan lagi. Masalahnya, bila terlalu banyak gambar yang diambil, bagaimana untuk disimpan, disusun dan diletakkan di tempat yang selamat dan mudah untuk dilihat kembali.

Ada beberapa kekurangan akaun percuma Flickr, antaranya ialah dari segi jumlah koleksi gambar yang boleh disimpan, set atau kategori yang boleh dibuat, had bandwidth dan beberapa kekurangan lagi. Saya suka flickr disebabkan kualiti gambar yang disimpan sama dengan kualiti yang kita edit sebelum proses “upload” dilakukan. Tak banyak “image gallery” percuma yang memberikan kualiti sebegini. Dilengkapi pula dengan aplikasi “Flickr Uploadr”, ianya semakin memudahkan kerja-kerja untuk upload gambar ke gallery.

Yuran setahun untuk melanggan Flickr Pro (akaun berbayar tanpa had penggunaan, koleksi dan sebagainya) ialah sekitar $24.95, lebih kurang RM95.00. Dilihat dari harga yang ditetapkan, ada alternatif lain iaitu membayar pakej webhosting 10GB dengan RM100++ dan anda boleh menggunakan banyak aplikasi image gallery percuma di Internet untuk tujuan penyimpanan gambar.

Saya pun ada juga image gallery di webhosting dan cara untuk upload gambar juga mudah – menggunakan FTP. Namun perisian ini tidak secanggih Flickr. Kualiti gambarnya juga tidak sebaik Flickr apabila ianya dipaparkan di Web. Jika mahu dikekalkan kualiti imej yang sama, saiz fail pula terlalu besar. Seperkara lagi, saya perlu bersusah payah mentadbir sistem gallery tersebut termasuk layout, database dan sebagainya – leceh kan :)

Dalam waktu terdekat, saya fikir saya terpaksa juga upgrade salah satu akaun percuma Flickr saya ke akaun “Pro” untuk menikmati kelebihan yang diberikan. Apa tidaknya, saya pernah hilang koleksi gambar digital sekitar 8GB apabila hard disk saya rosak tahun lepas. Terlupa “back-up” pulak tu, jadi lebih baik saya letakkan di tempat yang lebih selamat dan diselenggara secara professional.

Bak kata pepatah Melayu, “Alah membeli, menang memakai” – nampaknya saya akur dan pasrah kali ini pada perkhidmatan orang lain (biasanya saya buat sendiri benda-benda macam ni, sebab mudah..) :P

Categories: Fotografi Tags:

Konvoi ke Lumut (29 & 30 Disember 2007)

January 7th, 2008 md No comments

Entri ni agak terlewat, tapi saya ingin kongsikan sedikit pengalaman aktiviti konvoi bersama rakan motorsikal saya ke Lumut pada 29 & 30 Disember tahun lepas.

Kumpulan permotoran yang saya sertai ini dikenali sebagai Brotherhood Motor Group (BMG). Kami sering mengadakan aktiviti berkonvoi bersama-sama ke destinasi-destinasi menarik di seluruh tanah air. Biasanya destinasi akan ditentukan bergantung kepada jangkamasa cuti yang boleh diambil oleh para peserta. Jika pendek cuti yang ada, jadi jarak destinasi yang kami pergi juga berdekatan sahaja.

Konvoi ke Lumut sebenarnya tidak dirancang. Kami sebenarnya ingin pergi ke Cherating, namun disebabkan hujang lebat yang tidak menentu, dan khuatir amaran banjir yang berlaku, pertukaran rancangan dibuat pada saat-saat akhir. Memandangkan peserta sudah bersedia untuk berkonvoi, maka pilihan yang paling selamat ialah ke Pantai Barat semenanjung.

Pagi 29 Disember, kami berkumpul di stesen Shell Taman Melati (lebuhraya MRR2 menghala Gombak) seawal jam 8 pagi. Sepertimana biasa, mesti ada peserta yang tiba lewat. Kami hanya dapat bergerak selepas jam 9.30 pagi, itu pun bukan ke destinasi yang dirancang, tetapi ke bengkel motorsikal di Jalan Ipoh memandangkan seorang peserta mengalami masalah kebocoran minyak enjin pada motorsikalnya.

Setelah selesai baik pulih dilakukan, kami bergerak ke Kuala Selangor untuk bertemu dengan 3 lagi rakan lain yang menunggu di sana. Tiba di Kuala Selangor, jam sudah menunjukkan pukul 3 petang. Setelah berehat seketika dan mengisi minyak motorsikal masing-masing, kami meneruskan perjalanan ke Sekinchan melalui Tanjung Karang untuk berhenti makan tengahari.

Lebih kurang jam 4 petang, kami meneruskan lagi perjalanan ke Sabak Bernam pula untuk berhenti solat asar (jamak) dan mengisi minyak. Dari Sabak Bernam, perjalanan diteruskan merentasi sawah padi yang cantik untuk ke Seri Manjung, Perak. Kami tiba di stesen Shell Seri Manjung lebih kurang jam 6 petang untuk mengisi minyak dan berehat seketika.

Ketika hampir untuk bergerat ke Pantai Teluk Batik, seorang “bikers” dari Manjung Bikers Club telah menghampiri kumpulan kami. Beliau mempelawa untuk menunjukkan jalan untuk ke Lumut kerana pada hemat beliau, Teluk Batik agak sunyi sepi pada malam hari. Kami bersetuju dengan cadangan beliau, dan segera untuk bergerak ke pekan Lumut.

Sampai di pekan Lumut, waktu sudah hampir maghrib. Seorang rakan kami bersama bikers dari Manjung tadi telah pergi untuk mencari hotel tempat kami menginap. Alhamdulillah, tak lama selepas itu, beliau memaklumkan telah berjaya mendapatkan hotel dengan kos RM31 seorang (berkongsi bilik – 2 katil sebilik).

Malamnya, selepas mandi dan solat, kami keluar untuk makan malam di restoran berdekatan Jeti Lumut. Agak mengecewakan, kerana perkhidmatan restoran (Bistro) berkenaan tidak baik menyebabkan ada di antara makanan/minuman yang dipesan tidak sampai walaupun selepas 45 minit menunggu. Terpaksalah kami singgah pula ke restoran mamak berhampiran untuk mencari apa yang boleh dimakan, memandangkan waktu pun sudah lewat malam (banyak restoran biasa sudah tutup).

Keesokan harinya, selepas bersarapan, kami sempat bersiar-siar di sekitar pekan Lumut sambil membeli ole-ole untuk dibawa pulang. Sekitar pukul 12 tengahari, kami pun bersiap-siap untuk check-out dan bersedia untuk berlepas ke Pantai Teluk Batik. Sekali lagi, apabila sampai di Teluk Batik, agak mengecewakan kerana motorsikal kami tidak dibenarkan parkir sebentar di chalet berdekatan melainkan kami membayar wang untuk memarkir kenderaan. Oleh kerana tujuan kami bukanlah untuk mandi-manda di pantai berkenaan, jadi kami terus bergerak menuju destinasi berikutnya.

Kami tiba di pekan Seri Iskandar untuk makan tengahari. Sekitar jam 3 petang, seorang peserta konvoi mencadangkan untuk membatalkan hasrat ke Gua Tempurung kerana waktu telah lewat. Setelah berbincang, kami bersetuju untuk pulang terus ke Kuala Lumpur menggunakan lebuhraya PLUS.

Perjalanan melalui lebuhraya agak membosankan kerana jalan yang lurus dan banyak kenderaan yang laju cuba memotong deretan konvoi kami. Kami berhenti di dua perhentian – Tapah dan Ulu Bernam sebelum berpecah untuk pulang ke rumah masing-masing.

Secara amnya, konvoi ini telah berjaya dijalankan tanpa sebarang masalah yang besar dan semua peserta berasa puas dengan pengalaman yang dilalui bersama. Sejumlah 604KM telah dilalui sepanjang konvoi ini seperti yang direkodkan oleh meter motorsikal saya.

Gambar-gambar boleh dilihat di sini

Categories: Motosikal Tags:

Fotografi sebagai Hobi

September 12th, 2007 md 2 comments

Sejak di bangku persekolahan lagi saya begitu meminati bidang fotografi. Kamera pertama yang saya miliki ialah kamera Kodak 110mm (kamera lonjong menggunakan filem saiz 110) yang saya perolehi sebagai hadiah kepada set makanan “Snack Plate” KFC 20 tahun lepas (1987).

Lebih kurang macam ni bentuk kamera Kodak 110mm saya tu, cuma warna kamera saya kuning.

Kodak 110mm

Sebelum itu, ada juga kamera “pinjam” yang saya guna untuk “menangkap” gambar, tapi tidak seseronok menggunakan kamera milik sendiri. Dapat saja kamera tersebut, ke hulu ke hilir saya cuba shoot gambar. Dari gambar sekitar bandar Kuantan, sehinggalah gambar bunga di sekolah.

Ada sekali tu, kelas saya adakan picnic di pantai Beserah sebelum peperiksaan SRP. Saya tak lepas peluang untuk ambil gambar seberapa banyak yang boleh menggunakan kamera tersebut. Siap boleh jual lagi pada kawan-kawan walaupun kualiti gambar tidak memberangsangkan :)

Masuk ke Universiti, saya tiada kamera. Kadang-kadang pinjam kamera abang saya jika dia tidak menggunakan, selebihnya pinjam kamera kawan. Bila tengok ada kelab Fotografi di kampus, saya gigit jari saja, sebab tak mampu nak beli kamera untuk digunakan sebagai bahan untuk belajar. Jadi terkubur seketika minat fotografi, cuma ambik gambar sekali sekala tu diteruskan tapi tidak secara serius.

Bila dah mula bekerja, saya mula menyimpan sedikit. Kebetulan ada satu tugasan ke luar negara. Syarikat berikan sedikit wang “advance” untuk perbelanjaan di sana. Jadi saya simpan sedikit wang tersebut, konon-konon nak dapatkan sebuah kamera. Tapi tak sempat beli sebelum ke luar negara, saya beli bila dah balik ke Malaysia. Ingat lagi waktu tu, beli di Pertama Kompleks, kedai di tingkat tiga. Kamera “point and shoot” Yashica beharga RM550.00. Yang bengangnya, bila turun ke ground floor, gatal mulut tanya dekat satu kedai di situ, belum ditawar lagi dah dapat RM500!.

Sejak dapat kamera ni, banyak jugalah saya dapat tangkap gambar. Tapi hasilnya masih tidak memberangsangkan. Ya lah, kamera point and shoot, memang ala kadar saja hasilnya. Tapi kalau betul teknik dan cara komposisi subjek, boleh tahan juga gambarnya.

Masa berlalu, menjelang tahun 2002, saya ikut isteri saya sambung belajar ke England. Waktu ni tak bawak kamera, tapi ada kamera video digital Sony. Ada juga sebijik digital pencam bersaiz sebatang Pen, hasil gambarnya bak kata orang sekarang – hampeh!. Takut terlepas saat-saat menarik di negara orang, saya beli juga sebuah kamera terpakai dari eBay UK berharga lebih kurang RM150 duit kita. Jenama Pentax. Ada lagi sampai sekarang, adik saya yang pakai. Hasil gambarnya boleh tahan, fungsi zoom dan lain-lain masih baik. Jadi ke hulu ke hilir bila ada event atau aktiviti jalan-jalan saya akan bawak kamera ni bersama videocam saya.

Bila lagi lama pakai, lagi saya rasa macam nak improve lagi kualiti gambar, saya ‘bid’ pula kamera Canon EPOCA (di Malaysia kod dia Bazooka). Kamera ni bentuk dia bulat memanjang macam meriam atau pokok periuk kera. Flash dia terkatup macam penutup bekas air, bila dibuka akan terangkat ke atas. Design memang canggih dan kalau bawak ke mana-mana orang mesti tertarik dengan design dia. Gambarnya pun memang cantik, mungkin lens yang digunakan berkualiti. Dibandingkan dengan kamera Pentax yang saya beli lebih awal, hasilnya 20% lebih baik. Jadi saya masih tak puas hati hehehehe..

Kumpul lagi duit, saya ‘bid’ lagi untuk beli kamera Canon SLR EOS 500. Dapat juga saya sebuah kamera SLR dengan lens standard. Memang tak syak lagi, bila saya proses gambar yang diambil dari kamera ni, tersenyum lebar melihat hasilnya. Sharp, Clear dan menarik untuk dilihat berulang kali. Itu yang saya mahu. Bila dah dapat yang baru, yang dua lagi tu (Pentax & Canon Epoca) tersimpan dalam almari :)

Balik ke Malaysia, saya masih gunakan EOS 500 tersebut sampailah tahun 2005. Waktu tu, digital camera SLR sudah banyak di pasaran. Tapi harganya macam nak beli anak harimau. Kebetulan saya dapat offer menarik dari seorang kawan yang memerlukan duit. Dia nak jual kamera SLR Konica-Minolta Dynax 7D berharga RM1,000 beserta 50mm/f1.7 lens. Memang berbaloi!. tak dapat harga tu di mana-mana. Banyak betul saya ambil gambar guna 7D ni. Dekat 8GBytes saiz folder simpanan gambar yang telah saya ambil. Kebanyakan gambar aktiviti kumpulan motorsikal saya. Event terakhir sewaktu Annual Ride ke Pantai Pangkalan Balak, Melaka.

Pantai Pangkalan Balak, Melaka

Ride balik ke KL dari Melaka

Bulan lepas, riwayat shutter dan CCD 7D saya tamat. Kalau nak baiki, saya kena sediakan RM2,200 untuk kos alat ganti dan upah. Huh!, terus tak jadi baiki dan simpan saja kamera tu dalam beg. Minggu lepas, saya dah tak tahan takde kamera di tangan, jumpa satu iklan di Internet. Ada sebuah kamera Canon A540 (point and shoot) untuk dijual. Memandangkan bajet nak beli DSLR baru belum cukup, pakai yang ini dulu lah.

Kat bawah ni shot terkini yang saya ambil waktu singgah di Tasik Titiwangsa hari ahad lepas. Tak secanggih shot dari DLSR, tapi bolehlah…

Eye on Malaysia

Akmal and KLCC painting

Bila ada cukup bajet, rasanya saya nak sambar Sony alpha 700 yang baru tu. Hehehe tapi harga dia cecah RM5000 untuk body saja. Adui la..

Categories: Fotografi Tags: