Archive

Archive for March, 2009

Andrea Bocelli

March 6th, 2009 md 2 comments

Saya bukanlah pakar dan arif dalam bidang muzik. Apatah lagi tahu menilai erti muzik itu sendiri secara mendalam. Apa yang saya tahu, jika saya suka dengan melodi sesebuah lagu, saya akan cuba cari siapa yang menyanyikan lagu tersebut. Saya tak dengar muzik sebab artis tertentu atau lirik sesebuah lagu. Saya cuma suka dengar melodi/irama sesebuah lagu. Tak kira dalam bahasa apa sekali pun.

Dulu-dulu saya terpesona mendengar muzik Kitaro seperti “Kojiki”, “Matsuri”, “Caranvasary” dan sebagainya. Lepas tu Kenny G dengan koleksinya seperti “Going Home”, “The Moment” dan sebagainya. Tak kurang juga lagu-lagu dari kumpulan Boyz II Men seperti “Water runs dry”. Artis Malaysia pula, saya suka lagu “Hijau” dan “Inayah” dari Zainal Abidin. “Suatu Masa” dari M.Nasir, “Berita dari Rantau” dari Alleycats dan sebuah lagu menyentuh perasaan dendangan Tan Sri SM Salim -- “Tak Seindah Wajah”. Mendengar melodi yang boleh menenangkan jiwa boleh memberi semangat dan keriangan dalam diri.

Saya tak pasti jika anda pernah dengar lagu dari Andrea Bocelli, seorang tenor dari Itali. Kemasyhurannya sebaris dengan nama-nama besar seperti Luciano Pavarotti, Placido Domingo dan sebagainya. Namun keistimewaan Bocelli ialah, dia adalah satu-satunya tenor buta yang sangat berbakat.

Lagunya seperti “Beseme Mucho” dan “Melodramma” boleh membuatkan kita terleka mendengar melodinya walaupun tak sepatahpun lirik yang dinyanyikan saya faham. Itu baru dengar dari “youtube”, bayangkan kalau dapat mendengar persembahan beliau secara “live”, pasti lebih teruja.

Walaupun tidak dapat melihat, kebolehan beliau menghayati lagu yang disampaikan amat memukau. Saya fikir, orang yang istimewa seperti ini memang luarbiasa kemampuan mereka. Jika kita kiaskan pula kepada keadaan diri kita yang sempurna, sudahkah kita temui kebolehan istimewa kita yang bermanfaat dan sudahkan kita mencuba untuk kembangkannya semaksima yang mungkin?

Apa pun, peranan muzik dalam kehidupan memang tak dapat dinafikan. Tapi janganlah sampai muzik melalaikan kita dan alpa dengan tanggungjawab yang utama. Jika muzik dijadikan instrumen untuk menenangkan fikiran, saya fikir tidak salah. Macam saya, dengar muzik pun dari radio dalam kereta ataupun sekali-sekala “mencari” dalam koleksi YouTube.

Categories: Umum Tags:

Rumah Wan dan Ayah

March 5th, 2009 md No comments

Alhamdulillah, rumah ayah dan emak saya di Kuantan telahpun siap setelah projek ubahsuai dilakukan sejak Ogos 2008.

Ahad lepas, saya sempat balik sekejap untuk tinjau rumah tersebut. Memang puas hati dan selesa. Kalau dulu bila tiba musim cuti sekolah atau cuti perayaan, adik-beradik saya yang 9 orang mesti pening kepala macam mana nak susun tempat tidur. Tambahan pulak 6 orang telahpun berkeluarga dan mempunyai purata anak-anak seramai 3 orang atau lebih.

Usul untuk mengubahsuai rumah ayah saya diutarakan selepas mereka berdua kembali dari mengerjakan haji tahun lepas. Setelah sepakat, kami sekeluarga bersetuju untuk berkongsi kos pengubahsuaian tersebut.

Saya dapat lihat dan rasakan bagaimana terharunya ayah dan emak saya bila melihat “rumah baru” mereka siap akhirnya. Sejak sekian lama, mereka mengimpikan kediaman yang selesa untuk seluruh anak dan cucu mereka berkumpul bila balik kampung. 1 Mac 2009, impian mereka tercapai, alhamdulillah.

Harapan saya, agar mereka berdua terus dikurniakan Allah kesihatan yang baik serta dapat meneruskan amal ibadah yang sempurna kehadrat Allah. Cuma saya kasihan, hanya tinggal mereka berdua saja di rumah tersebut. Mesti sunyi tinggal berdua, menanti anak-anak dan cucu-cucu balik sekali sekala waktu cuti.

Hmmm.. itulah hakikat kehidupan. Masa kecik, anak-anak disuruh belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita berjaya dalam hidup. Bila dah habis belajar, anak-anak akan merantau mencari rezeki. Ibu bapa yang tua ditinggalkan keseorangan di rumah. Justeru, dah jadi tanggungjawab kita sebagai anak-anak, baliklah jenguk dan bermesra dengan ibu bapa walau sesibuk manapun kita bekerja. Tak sama dapat cium tangan dan dahi mak/ayah dengan mencium duit ringgit yang kita kejar setiap bulan.

Categories: Keluarga Tags: