Melihat dan Berfikir
Baru pulang dari mesyuarat bersama UKM Pakarunding Sdn. Bhd di pejabat mereka di UKM Bangi. Sangat menarik mesyuarat ini. Walaupun yang hadir dari pihak kami cuma saya berdua dengan boss, namun hampir 9 orang pegawai dari UKM Pakarunding termasuk Dato’ CEO mereka, COO, head of departments dan beberapa pegawai penyelidik utama dari Fakulti IT, mereka tetap melayan kami secara professional.
Mesyuarat dimulakan agak perlahan dengan sesi demonstrasi produk dari wakil fakulti IT. Diikuti sesi perbincangan bentuk kerjasama dan peluang mendapatkan khidmat rundingcara dari mereka. Apa yang kami bincangkan rasanya tak perlulah saya ulas di sini, cuma yang menarik perhatian saya ialah sesi selepas mesyuarat, iaitu perbincangan santai tidak rasmi yang begitu ilmiah, “mind provoking” dan bermesej.
Pada mulanya kami tidak merancang untuk duduk lebih lama selepas sesi mesyuarat rasmi tamat, namun bermula dari cakap-cakap kosong, perbincangan mula menjadi menarik apabila masing-masing memberikan pandangan dan contoh mengikut perspektif masing-masing. Kadangkala, perkara yang dianggap remeh dan tidak dipandang penting di sekeliling kita, sangat-sangat membawa kejayaan besar apabila diaplikasikan (applied) dengan betul dan sistematik – itu yang menjadi tajuk bual kami.
Cuba lihat di sekeliling kita, bagaimana kita melihat begitu banyak kemudahan, keindahan, keseronokan dan kelebihan yang ada di hadapan mata yang tidak digunakan atau dimanfaatkan sebagai peluang (opportunity). Bagi sesetengah pihak, peluang ini boleh diterjemahkan kepada wang, dan bagi sesetengah yang lain ianya lebih berupa kepuasan untuk menghasilkan sesuatu.
Namun, kebolehan untuk menggunakan peluang ini dari sumber yang terbentang di depan mata bukanlah semudah yang kita sangka. Tanpa menggunakan akal fikiran yang tajam, “common sense”, ilmu dan sifat ingin mencari sesuatu kelainan atau sesuatu yang baru, sukar untuk diterjemahkan perkara-perkara abstrak di sekeliling kita kepada peluang besar.
Setelah hampir 45 minit “berbual kosong” secara ilmiah, kami terpaksa meminta izin untuk pulang. Rasanya tidak sia-sia sesi sebegini diadakan. Setidak-tidaknya ianya membolehkan kita muhasabah (reflect) apa yang kita buat sehari-hari, adakah memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan agama?
Lihatlah di sekeliling kita, renungkan dan fikir-fikirkanlah
Recent Comments