Archive

Archive for March, 2008

Mengapa menulis blog?

March 31st, 2008 md 1 comment

Web logs atau blog ringkasnya adalah satu fenomena biasa dalam Internet hari ini. Jika dahulu, kita lebih gemar mencatatkan cerita peribadi di dalam diari, kini blog menjadi pilihan kerana sifatnya yang fleksibel, boleh dicapai dengan mudah dan mempunyai fungsi istimewa seperti mencipta kategori, fungsi editor What You See is What You Get (WYSWYG), boleh memasukkan gambar, audio, video dan sebagainya.

Ada banyak tanggapan orang ramai terhadap budaya menulis blog. Ada yang merasakan bahawa penulis blog suka mencari publisiti dengan menceritakan kisah peribadi kepada khalayak yang tidak dikenali (pengunjung dari Internet). Ada juga yang berpendapat penulis blog berjaya memberikan satu wadah baru untuk menyampaikan pendapat atau ulasan terhadap isu-isu semasa.

Tidak kurang juga yang berpandangan bahawa penulis-penulis blog hanyalah sekumpulan pengguna Internet yang ingin menghabiskan masa dengan melakukan sesuatu yang mereka gemar di Internet.

Bagi saya, walau apa pun pendapat yang diberikan, blog bagi saya dapat memberikan satu ruang yang istimewa tanpa sebarang paksaan dan kongkongan untuk kita berkarya. Tidak kiralah samada karya tersebut dapat mencetuskan perbincangan yang baik atau sebaliknya

Catatan-catatan sebegini kadangkala boleh dijadikan bacaan hari tua (jika umur panjang) untuk saya (setidak-tidaknya) mengimbau kisah yang telah berlalu sepanjang hidup saya. InsyaAllah, jika kemudahan yang digunakan dimanfaatkan ke matlamat yang baik, maka baiklah hasilnya.

Selamat menulis (pesanan lebih kepada diri sendiri.. :) )

Categories: Umum Tags:

Sunday Breakfast Ride

March 29th, 2008 md 2 comments

Hari ahad minggu lepas (23 Mac 2008) saya dan rakan-rakan motor saya sempat beriadah bersama kenderaan roda dua kami dari Kuala Lumpur->Hulu Langat->Empangan Semenyih->Kuala Kelawang(Jelebu)->Simpang Durian->Telemong->Karak dan kembali ke Kuala Lumpur.

group convoy

Seramai 11 peserta mengikuti program yang dinamakan “Sunday Breakfast Ride”. Acara dimulakan seawal jam 8 pagi, di mana kami berkumpul di dua tempat rendezvous (RV) iaitu satu di Restoran Pelita Ampang Point, dan kumpulan kedua di gerai bersebelahan masjid Bt. 14, Hulu Langat.

Perjalanan dari Hulu Langat ke Kuala Kelawang (tempat breakfast) mengambil masa kira-kira 1 jam setengah. Majoriti motorsikal yang digunakan ialah kategori “easy rider”, jadi kelajuan konvoi hanyalah sekitar 60 ke 80km/j sahaja.

“Route” ini adalah route kegemaran kami kerana jalannya yang baik, pemandangan sekitar yang mendamaikan serta kombinasi selekoh dan jalan rata yang menarik.

Berhenti di Empangan SemenyihSelekoh-selekoh terutama dari pekan Hulu Langat ke Empangan semenyih amat-amat mendebarkan namun, dengan skil tunggangan masing-masing serta kadar kelajuan motorsikal yang agak perlahan, setiap selekoh dapat ditangani dengan selamat dan menyeronokkan.

Lebih kurang pukul 10 pagi, kami sampai ke Pekan Kuala Kelawang dan destinasi kami ialah ke Restoran Fatimah bersebelahan pejabat MARA Jelebu.

Motor

Setelah kenyang dengan hidangan yang dipesan. Kami meneruskan perjalanan ke pekan Karak pula melalui jalan kampung ke Simpang Durian->Telemong. Kali ini pemandangan lebih banyak kepada ladang getah dan kelapa sawit. Sekali-sekala konvoi kami dipotong oleh sekumpulan konvoi motorsikal lain yang lebih laju.

Kami sampai di Petronas Genting Sempah kira-kira jam 1.30 petang untuk berehat seketika membasahkan tekak sebelum bergambar kenangan dan berangkat pulang ke rumah masing-masing. Acara sebegini memang seronok dijayakan bersama-sama rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama. Setidak-tidaknya, ada aktiviti lain yang saya boleh buat selain berbicara tentang kerja :)

(saya tiada dalam gambar kerana “bertugas” mengambil gambar :) )

Group Pic

Categories: Motosikal Tags:

Photo Shoot Perkahwinan Khairul dan Farah

March 10th, 2008 md No comments

Sabtu lepas, 8 Mac 2008, selepas sahaja menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia (mengundi untuk pilihanraya ke 12 di Sekolah Datuk Keramat 1&2 bagi Parlimen Titiwangsa), saya berkesempatan untuk menghadiri majlis perkahwinan adik ipar saya Mohamad Khairul Nizam Ismail di Gunung Rapat, Simpang Pulai, Perak.

Memandangkan tiada jurukamera rasmi yang adik ipar saya upah, jadi saya pun cubalah jadi jurukamera “tangkap muat”. Di bawah ialah antara foto yang sempat saya ambil (banyak lagi di flickr page saya).

Khairul dan Farah

Selamat Pengantin baru Khairul & Farah, semoga berkekalan hingga ke akhir hayat dan beroleh rahmat dalam perkahwinan ini.

Kalau ada yang berminat untuk dapatkan perkhidmatan saya, bolehlah email ke maznan {@} deraman _dot_ com (buang tanda-tanda {} dan _, banyak sangat spam bot sekarang ni). Setakat ini, saya hanya ambil gambar-gambar aktiviti ahli keluarga dan kumpulan motorsikal saya saja :)

Categories: Umum Tags:

Keputusan Pilihanraya Umum Malaysia ke 12

March 9th, 2008 md No comments

Berikut ialah ringkasan keputusan pilihanraya Umum Malaysia kali ke 12 seperti yang diperolehi dari Bernama/SPR. (sila klik pautan ini untuk keputusan penuh)

Parlimen

BN : 137
BA : 82 – (PAS-23),(KeADILan-31), (DAP-28)
Jumlah kerusi : 222

* Sabah dan Sarawak masih terdapat 3 kerusi yang masih belum membuang undi.

Dewan Undangan Negeri (Dun)

*Dun Perlis : BN (14), PAS (1) jumlah kerusi = 15
*Kedah : BN (14), PAS (16), KeADILan (4), DAP (1), Bebas (1) = 36
*Kelantan : BN (6), PAS (38), KeADILan (1); = 45
*Terangganu : BN (24), PAS (8); = 32
*Pulau PInang : BN (11), PAS (1), DAP (19), KeADILan (9), = 40
*Perak : BN (28), PAS (6), DAP (18), KeADILan (7), = 59
*Pahang : BN (37), PAS (2), DAP (2),Bebas (1), = 42
*Negeri Sembilan : BN (21), PAS (1), DAP (10),KeADILan (4); = 36
*Melaka : BN (23), PAS (0), DAP (5), = 28
*Johor : BN (50), PAS (2), DAP (4); = 56

Semoga setiap ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen yang telah diberi mandat oleh rakyat akan memberikan perkhidmatan terbaik mereka seperti yang dijanji-janjikan.

Categories: Umum Tags:

Makanan

March 5th, 2008 md No comments

Malaysia memang popular dengan pelbagai jenis makanan. Sebutlah apa saja yang anda ingin makan, pasti ada di Malaysia. Cuma yang kita jarang nak pastikan, samada makanan tersebut berkhasiat atau tidak. Asal sedap tekak merasa, semua kita bedal :)

Lihat makanan yang saya order semalam selepas melawat seorang rakan yang kemalangan di HKL, nampak menyelerakan?,

Bihun Ladna inilah dia bihun ladna (mungkin ejaan/sebutan saya tidak betul). Bihun seribu satu macam bahan. Semua dicampur sekaligus terutama sayur-sayuran, seafood dan bihun itu sendiri. Rasanya boleh tahan. Cuma seperti biasa, saya tak pasti apakah khasiatnya :)

Memilih jenis makanan dan khasiat setiap apa yang ingin dimakan amat penting untuk menjamin kesihatan kita. Banyak penyakit yang berpunca dari sumber makanan yang memudaratkan jika diambil secara berlebihan atau tidak mengikut saranan yang betul. Namun “temptation” untuk menjamah juadah yang menyelerakan, kadangkala membuatkan kita melupakan kesan jangka masa panjang yang bakal menyusahkan diri kita, iaitu kesihatan diri.

Kalaulah dapat kita amalkan budaya memakan makanan berkhasiat sepanjang masa, insyaAllah, banyak masalah kesihatan dapat diatasi sejak dari awal lagi.

Selamat makan! :)

Categories: Umum Tags:

Melihat dan Berfikir

March 3rd, 2008 md No comments

Baru pulang dari mesyuarat bersama UKM Pakarunding Sdn. Bhd di pejabat mereka di UKM Bangi. Sangat menarik mesyuarat ini. Walaupun yang hadir dari pihak kami cuma saya berdua dengan boss, namun hampir 9 orang pegawai dari UKM Pakarunding termasuk Dato’ CEO mereka, COO, head of departments dan beberapa pegawai penyelidik utama dari Fakulti IT, mereka tetap melayan kami secara professional.

Mesyuarat dimulakan agak perlahan dengan sesi demonstrasi produk dari wakil fakulti IT. Diikuti sesi perbincangan bentuk kerjasama dan peluang mendapatkan khidmat rundingcara dari mereka. Apa yang kami bincangkan rasanya tak perlulah saya ulas di sini, cuma yang menarik perhatian saya ialah sesi selepas mesyuarat, iaitu perbincangan santai tidak rasmi yang begitu ilmiah, “mind provoking” dan bermesej.

Pada mulanya kami tidak merancang untuk duduk lebih lama selepas sesi mesyuarat rasmi tamat, namun bermula dari cakap-cakap kosong, perbincangan mula menjadi menarik apabila masing-masing memberikan pandangan dan contoh mengikut perspektif masing-masing. Kadangkala, perkara yang dianggap remeh dan tidak dipandang penting di sekeliling kita, sangat-sangat membawa kejayaan besar apabila diaplikasikan (applied) dengan betul dan sistematik – itu yang menjadi tajuk bual kami.

Cuba lihat di sekeliling kita, bagaimana kita melihat begitu banyak kemudahan, keindahan, keseronokan dan kelebihan yang ada di hadapan mata yang tidak digunakan atau dimanfaatkan sebagai peluang (opportunity). Bagi sesetengah pihak, peluang ini boleh diterjemahkan kepada wang, dan bagi sesetengah yang lain ianya lebih berupa kepuasan untuk menghasilkan sesuatu.

Namun, kebolehan untuk menggunakan peluang ini dari sumber yang terbentang di depan mata bukanlah semudah yang kita sangka. Tanpa menggunakan akal fikiran yang tajam, “common sense”, ilmu dan sifat ingin mencari sesuatu kelainan atau sesuatu yang baru, sukar untuk diterjemahkan perkara-perkara abstrak di sekeliling kita kepada peluang besar.

Setelah hampir 45 minit “berbual kosong” secara ilmiah, kami terpaksa meminta izin untuk pulang. Rasanya tidak sia-sia sesi sebegini diadakan. Setidak-tidaknya ianya membolehkan kita muhasabah (reflect) apa yang kita buat sehari-hari, adakah memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan agama?

Lihatlah di sekeliling kita, renungkan dan fikir-fikirkanlah :)

Categories: Umum Tags: