Hujan & Ribut
Semalam, hujan dan ribut melanda kawasan rumah saya. Hampir 8 buah rumah (mungkin lebih) mengalami kerosakan, terutama bahagian bumbung rumah (genting yang pecah, diangkat angin). Kejadian berlaku kira-kira jam 2.00 pagi.
Terpaksa menadah air hujan yang menitik deras dari siling dengan baldi. Getaran dari pukulan angin tersebut amat terasa. Anak saya terjaga dari tidur dan ketakutan sebab belum pernah rumah kami ditiup angin kuat sebegitu.
Pagi tadi, sempat berbincang dengan jiran sebelum ke tempat kerja. Jiran saya mengambil keputusan untuk cuti kecemasan untuk menguruskan kerja-kerja baik pulih. Saya turut memesan kepada beliau, jika ada tukang rumah yang datang, minta betulkan kerosakan bumbung rumah saya sekali, bayaran saya akan jelaskan nanti.
Tengahari tadi, saya balik sebentar untuk jenguk kerja-kerja baik pulih kerosakan. Kebetulan ada 2~3 orang lagi jiran saya yang ada di rumah. Jadi sempatlah kami meninjau-ninjau keadaan sekeliling, kalau-kalau ada rumah jiran lain yang turut terlibat. Alang-alang dah ada tukang yang naik ke atas bumbung, elok dibuat sekali kerja-kerja pembaikan. Bukan senang untuk kita buat sendiri, risikonya tinggi.
Sambil menanti kerja-kerja siap, saya dan jiran-jiran lain sempat membuat aduan rasmi kepada MPKj agar menebang pokok-pokok besar yang tinggi di hadapan rumah kami. Kami khuatir jika kejadian angin kencang berulang, kemungkinan besar pokok tersebut boleh tumbang dan menimpa sub-stesen elektrik TNB yang ada di bawahnya. Mujur ada kemudahan Celcom Broadband (3G) yang dilanggani jiran saya, mudah untuk kami buat aduan beramai-ramai (seorang demi seorang) di tepi jalan
Setelah siap kerja-kerja pembaikan sekitar pukul 1.30 tengahari, kami pun bersedia untuk membayar perkhidmatan tukang rumah tersebut. Agak terkejut juga, sebab beliau tak dapat menyatakan kadar bayaran, sebaliknya berdolak-dalik dengan rakannya agar menetapkan kadar harga. Kami memberikan sedikit masa kepada mereka untuk berbincang harga yang ingin ditetapkan sambil-sambil berbual kosong.
Kira-kira sepuluh minit kemudian, kos pembaikan telah diputuskan. Rata-rata antara RM50 hingga RM100 sehaja, bergantung kepada banyak atau tidak pembaikan dibuat. Pada pandangan saya, kos ini melampau-lampaulah murah!. Saya menjangkakan dalam lingkungan RM300~RM500 ringgit untuk kerja-kerja berisiko seperti ini. Walaupun tidak termasuk harga barang, saya fikir harganya tetap murah.
Alhamdulillah, masih ada insan yang tidak sanggup menangguk di air yang keruh. Mungkin beliau juga simpati dengan nasib yang menimpa kami, mungkin juga sebab jumlah rumah yang terlibat banyak (jadi hasil tetap lebih berbanding hari-hari biasa yang kekurangan kerja) atau mungkin atas sebab-sebab toleransi.
Jika perkhidmatan baik sebegini dengan harga yang sangat-sangat berpatutan terus menjadi teras perniagaan masyarakat kita, saya pasti sudah tentu ramai yang akan puas hati dan mencadangkan perkhidmatan mereka kepada orang lain.
Syabas Encik Wan, tukang yang baik hati dan telus!
Recent Comments