Home > Education > Sekolah lama

Sekolah lama

February 25th, 2008 Leave a comment Go to comments




Terjumpa catatan lama saya di “guestbook” sekolah lama saya di Bukit Goh (Kuantan) apabila membuat carian rambang di google menggunakan nama saya. Waktu tu, saya sedang cuti belajar. Kebetulan laman web sekolah berkenaan ditadbir oleh bekas guru saya. Jadi beliau telah memasukkan coretan saya di “guestbook” ke laman khas – “Kejaayan Bekas Pelajar” :) (macam berjaya sangat…hehehe)

Kalau nak jenguk boleh klik di pautan ini :)

Waktu saya bersekolah di sana, saya tak terfikir pun akan melangkah jauh lagi dalam bidang pelajaran (pendidikan). Yang saya tahu, ayah dan emak saya orang susah, jadi saya perlu pastikan saya maju dalam pelajaran walaupun serba kekurangan. Kehidupan di Felda pada waktu itu tidak semewah pada waktu sekarang (harga minyak sawit sekarang mahal!, pendapatan bulanan boleh mencecah RM4,000 jika buah sawit banyak), jadi segala-gala yang diperlukan untuk tujuan meningkatkan tahap pelajaran memerlukan wang dan pengorbanan seluruh isi keluarga.

Saya masih ingat, untuk meringankan kos belanja ke sekolah, saya lebih suka membawa bekal makanan dari rumah. Pakaian sekolah juga begitu. Adik beradik saya ramai (9 orang semuanya), pakaian abang-abang saya yang masih elok, saya gunakan semula sehingga benar-benar usang atau koyak. Saya tak kisah langsung, asalkan saya dapat ke sekolah macam orang lain. Bukan saya saja begitu, rakan-rakan lain pun lebih kurang sama, jadi tak timbul soal malu atau rasa rendah diri.

Alhamdulillah, berkat usaha dan doa ayah-ibu dan keluarga, semuanya terbayar sekarang. Kalau nak diceritakan semua mungkin banyak dan tak pandai saya nak susun setiap detik yang saya lalui. Tapi perubahan memang ketara tatkala kita berjaya dalam pelajaran. Kerjaya yang diperolehi selepas tamat pengajian di Unversiti amat-amat membantu apa yang kita perolehi sekarang. Semua ini adalah rezeki dari Allah dan ujian daripadaNya. Siapa sangka, dahulu saya hanya dapat bermimpi sahaja untuk memiliki apa yang saya ada sekarang.

Kadangkala saya cuba juga untuk bercerita dengan anak-anak untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada mereka, namun dari reaksi spontan mereka, seakan-akan mereka tak dapat membayangkan keadaan sebenar ketika itu. Anak-anak sekarang memang macam ni, semuanya tersedia di depan mata.

Semoga pengalaman dan kisah-kisah lalu terus memberi pengajaran dan pedoman untuk kita harungi hari-hari yang mendatang dengan penuh keinsafan di bawah lindungan rahmat Allah yang maha Esa. Sesungguhnya rezeki yang melimpah ruah diberikan oleh Allah adalah ujian semata-mata. Hendaknya sikap memberi, berzakat dan bersedekah menjadi amalan kita yang mampu, insyaAllah.

Categories: Education Tags:
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.