Home > Education > Mengapa perlu Serius dan Komited

Mengapa perlu Serius dan Komited

February 19th, 2008 Leave a comment Go to comments




Sabtu lepas, berkesempatan mengikuti program Hari Keluarga sekolah Sri Ayesha di Taman Tasik Cempaka, Bangi. Sambil duduk-duduk di bawah pokok tengok acara sukaneka berlangsung, datang Bakri (Dr.) menghampiri saya (rakan yang dikenali ketika sama-sama di Lancaster, England sewaktu isteri saya mengikuti pengajian peringkat Masters di sana). Kebetulan anaknya juga belajar di sekolah yang sama.

Bicara dimulakan dengan bertanya khabar dan berita. Diikuti dengan perkembangan semasa, dan tersentuh pula tentang pengajian saya yang baru bermula. Bakri menceritakan pengalaman beliau ketika membuat PhD dahulu. Kadangkala beliau hairan macam mana ada pelajar yang dapat bersosial (mengikuti banyak program kemasyarakatan), melancong, dan bersuka ria walhal sedang belajar untuk satu tempoh yang tidak dapat ditentukan (penyelidikan dan penulisan thesis belum tentu berjaya!).

Pada hemat beliau, jika kita tidak serius dan komited dengan apa yang sepatutnya dibuat, sukar untuk menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan. Beliau sendiri hanya tidur lebih kurang 3 jam sehari sepanjang tempoh pengajian di sana. Alhamdulillah, dalam masa kurang 4 tahun, beliau berjaya tamatkan pengajian tersebut. Masih ramai lagi yang tidak tamat dan sukar untuk meramalkan nasib mereka.

Saya cuba kaitkan dengan seminar Kaedah Penyelidikan yang dibuat minggu lepas oleh Prof. Dr. Abdullah Mat Zin – “setiap penyelidikan perlu dirancang dengan baik”. Jika tiada perancangan yang sempurna untuk membuat penyelidikan, kemungkinan masalah akan timbul di kemudian hari. Elemen penting dalam perancangan termasuk waktu yang diperlukan untuk menentukan “research area”, “literature review”, metodologi penyelidikan, instrumen / model experimen, analisa keputusan, laporan kajian dan sebagainya.

Agak menakutkan jika difikir-fikir apa yang menanti saya di hadapan. Tidur yang kurang. Membaca hampir 1000 jurnal dalam masa 6 bulan (sekarang sudah masuk bulan ke 2!!!), membuat dokumen cadangan dan perbincangan perkembangan semasa dengan penyelia.

Walaupun terasa seram-sejuk, saya bersedia dengan situasi yang akan ditempuh. InsyaAllah berkat doa ibu-bapa, isteri dan anak-anak, cuba juga sedaya upaya untuk buat yang terbaik, insyaAllah.

Categories: Education Tags:
  1. February 21st, 2008 at 20:03 | #1

    setelah membaca post ini, alhamdulillah, saya mendapat satu ilmu yang berguna.

    terima kasih. :)

  1. No trackbacks yet.