Archive

Archive for February, 2008

Wordpress “magic”

February 29th, 2008 md No comments

Assalamualaikum (kepada rakan muslim), pagi Jumaat yang indah, segar dan nyaman.

Dah masuk 2 minggu saya kembali memandu kereta ke tempat kerja. Biasanya saya lebih selesa menunggang motosikal (hobi saya, bukan kerana mahu jimat atau cepat saja). Memandangkan isteri saya telah sarat (expected due in April), jadi saya ambil alih tugas memandu untuk menghantar beliau ke tempat kerja dan anak-anak kami ke sekolah.

Kebetulan (atau nasib baik?) sekolah anak-anak, pejabat isteri saya dan pejabat saya berada dalam lingkungan 15km radius, jadi tak jadi masalah besar untuk saya buat kerja ni :)

Berbalik kepada tajuk posting saya, baru sebentar tadi saya mencuba satu fungsi “Import” dalam wordpress (blog software yang saya gunakan ini). Sebelum ni memang saya perasan menu import ni, tapi tak pernah terfikir untuk periksa kegunaan sebenarnya.

Bila saya klik menu tersebut pagi ni secara tak sengaja, saya nampak kebolehan wordpress untuk import posting-posting yang telah kita buat dalam laman blog lain walaupun menggunakan software berbeza (ada lebih kurang 10 atau lebih jenis blog yang wordpress boleh import).

Fungsi ini amat-amat luarbiasa (magic!). Bayangkan kesemua posting saya di laman blog percuma di Internet dapat saya himpunkan kembali ke Blog ini!. Walaupun ada posting yang berbahasa Inggeris (rojak, grammar tak betul hehehe..) dan bermacam-macam kategori, wordpress berjaya menyusun dan menempatkan ke dalam Blog saya tanpa perlu saya formatkan kembali.

Apa yang perlu saya buat setelah proses import selesai ialah menempatkan posting-posting lama berkenaan ke dalam kategori baru yang saya buat di blog sekarang (80% telah siap). Itu saja!, magic bukan :)

Jika anda ingin mencuba, prosesnya amat mudah, contoh jika anda ada blog di “blogger.com” (dulunya blogpsot.com), apa yang perlu dibuat ialah dari Wordpress “Manage” options, anda klik pada menu “Import”, ikut arahan di laman tersebut untuk meneruskan proses import isi kandungan dari laman blogger/blogspot anda.

Kini, posting saya seawal tahun 2002 dapat saya kumpulkan di sini. Cuma saya perlu edit sedikit di hujung setiap posting tersebut kerana terdapat beberapa “meta tags” yang dimasukkan secara automatik dari blogger.com. Tak jadi masalah!.

Selamat mencuba!

Categories: Teknologi Maklumat Tags:

Hujan & Ribut

February 26th, 2008 md No comments

Semalam, hujan dan ribut melanda kawasan rumah saya. Hampir 8 buah rumah (mungkin lebih) mengalami kerosakan, terutama bahagian bumbung rumah (genting yang pecah, diangkat angin). Kejadian berlaku kira-kira jam 2.00 pagi.

Terpaksa menadah air hujan yang menitik deras dari siling dengan baldi. Getaran dari pukulan angin tersebut amat terasa. Anak saya terjaga dari tidur dan ketakutan sebab belum pernah rumah kami ditiup angin kuat sebegitu.

Pagi tadi, sempat berbincang dengan jiran sebelum ke tempat kerja. Jiran saya mengambil keputusan untuk cuti kecemasan untuk menguruskan kerja-kerja baik pulih. Saya turut memesan kepada beliau, jika ada tukang rumah yang datang, minta betulkan kerosakan bumbung rumah saya sekali, bayaran saya akan jelaskan nanti.

Tengahari tadi, saya balik sebentar untuk jenguk kerja-kerja baik pulih kerosakan. Kebetulan ada 2~3 orang lagi jiran saya yang ada di rumah. Jadi sempatlah kami meninjau-ninjau keadaan sekeliling, kalau-kalau ada rumah jiran lain yang turut terlibat. Alang-alang dah ada tukang yang naik ke atas bumbung, elok dibuat sekali kerja-kerja pembaikan. Bukan senang untuk kita buat sendiri, risikonya tinggi.

Sambil menanti kerja-kerja siap, saya dan jiran-jiran lain sempat membuat aduan rasmi kepada MPKj agar menebang pokok-pokok besar yang tinggi di hadapan rumah kami. Kami khuatir jika kejadian angin kencang berulang, kemungkinan besar pokok tersebut boleh tumbang dan menimpa sub-stesen elektrik TNB yang ada di bawahnya. Mujur ada kemudahan Celcom Broadband (3G) yang dilanggani jiran saya, mudah untuk kami buat aduan beramai-ramai (seorang demi seorang) di tepi jalan :)

Setelah siap kerja-kerja pembaikan sekitar pukul 1.30 tengahari, kami pun bersedia untuk membayar perkhidmatan tukang rumah tersebut. Agak terkejut juga, sebab beliau tak dapat menyatakan kadar bayaran, sebaliknya berdolak-dalik dengan rakannya agar menetapkan kadar harga. Kami memberikan sedikit masa kepada mereka untuk berbincang harga yang ingin ditetapkan sambil-sambil berbual kosong.

Kira-kira sepuluh minit kemudian, kos pembaikan telah diputuskan. Rata-rata antara RM50 hingga RM100 sehaja, bergantung kepada banyak atau tidak pembaikan dibuat. Pada pandangan saya, kos ini melampau-lampaulah murah!. Saya menjangkakan dalam lingkungan RM300~RM500 ringgit untuk kerja-kerja berisiko seperti ini. Walaupun tidak termasuk harga barang, saya fikir harganya tetap murah.

Alhamdulillah, masih ada insan yang tidak sanggup menangguk di air yang keruh. Mungkin beliau juga simpati dengan nasib yang menimpa kami, mungkin juga sebab jumlah rumah yang terlibat banyak (jadi hasil tetap lebih berbanding hari-hari biasa yang kekurangan kerja) atau mungkin atas sebab-sebab toleransi.

Jika perkhidmatan baik sebegini dengan harga yang sangat-sangat berpatutan terus menjadi teras perniagaan masyarakat kita, saya pasti sudah tentu ramai yang akan puas hati dan mencadangkan perkhidmatan mereka kepada orang lain.

Syabas Encik Wan, tukang yang baik hati dan telus! :)

Categories: Umum Tags:

Flickr

February 26th, 2008 md 1 comment

Saya ada beberapa akaun percuma Flickr (menggunakan akaun Yahoo!) untuk menyimpan beberapa koleksi gambar-gambar yang saya ambil dari kamera digital (Konica Minolta Dynax 7D, Maxxum 5D, Canon A540 dan kamera cap ayam 6.0megapixel :) ). Anda boleh lihat salah satu koleksi gambar saya di sini.

Saya suka mengambil gambar, satu hobi sejak dari zaman persekolahan lagi. Masalahnya, bila terlalu banyak gambar yang diambil, bagaimana untuk disimpan, disusun dan diletakkan di tempat yang selamat dan mudah untuk dilihat kembali.

Ada beberapa kekurangan akaun percuma Flickr, antaranya ialah dari segi jumlah koleksi gambar yang boleh disimpan, set atau kategori yang boleh dibuat, had bandwidth dan beberapa kekurangan lagi. Saya suka flickr disebabkan kualiti gambar yang disimpan sama dengan kualiti yang kita edit sebelum proses “upload” dilakukan. Tak banyak “image gallery” percuma yang memberikan kualiti sebegini. Dilengkapi pula dengan aplikasi “Flickr Uploadr”, ianya semakin memudahkan kerja-kerja untuk upload gambar ke gallery.

Yuran setahun untuk melanggan Flickr Pro (akaun berbayar tanpa had penggunaan, koleksi dan sebagainya) ialah sekitar $24.95, lebih kurang RM95.00. Dilihat dari harga yang ditetapkan, ada alternatif lain iaitu membayar pakej webhosting 10GB dengan RM100++ dan anda boleh menggunakan banyak aplikasi image gallery percuma di Internet untuk tujuan penyimpanan gambar.

Saya pun ada juga image gallery di webhosting dan cara untuk upload gambar juga mudah – menggunakan FTP. Namun perisian ini tidak secanggih Flickr. Kualiti gambarnya juga tidak sebaik Flickr apabila ianya dipaparkan di Web. Jika mahu dikekalkan kualiti imej yang sama, saiz fail pula terlalu besar. Seperkara lagi, saya perlu bersusah payah mentadbir sistem gallery tersebut termasuk layout, database dan sebagainya – leceh kan :)

Dalam waktu terdekat, saya fikir saya terpaksa juga upgrade salah satu akaun percuma Flickr saya ke akaun “Pro” untuk menikmati kelebihan yang diberikan. Apa tidaknya, saya pernah hilang koleksi gambar digital sekitar 8GB apabila hard disk saya rosak tahun lepas. Terlupa “back-up” pulak tu, jadi lebih baik saya letakkan di tempat yang lebih selamat dan diselenggara secara professional.

Bak kata pepatah Melayu, “Alah membeli, menang memakai” – nampaknya saya akur dan pasrah kali ini pada perkhidmatan orang lain (biasanya saya buat sendiri benda-benda macam ni, sebab mudah..) :P

Categories: Fotografi Tags:

Sekolah lama

February 25th, 2008 md No comments

Terjumpa catatan lama saya di “guestbook” sekolah lama saya di Bukit Goh (Kuantan) apabila membuat carian rambang di google menggunakan nama saya. Waktu tu, saya sedang cuti belajar. Kebetulan laman web sekolah berkenaan ditadbir oleh bekas guru saya. Jadi beliau telah memasukkan coretan saya di “guestbook” ke laman khas – “Kejaayan Bekas Pelajar” :) (macam berjaya sangat…hehehe)

Kalau nak jenguk boleh klik di pautan ini :)

Waktu saya bersekolah di sana, saya tak terfikir pun akan melangkah jauh lagi dalam bidang pelajaran (pendidikan). Yang saya tahu, ayah dan emak saya orang susah, jadi saya perlu pastikan saya maju dalam pelajaran walaupun serba kekurangan. Kehidupan di Felda pada waktu itu tidak semewah pada waktu sekarang (harga minyak sawit sekarang mahal!, pendapatan bulanan boleh mencecah RM4,000 jika buah sawit banyak), jadi segala-gala yang diperlukan untuk tujuan meningkatkan tahap pelajaran memerlukan wang dan pengorbanan seluruh isi keluarga.

Saya masih ingat, untuk meringankan kos belanja ke sekolah, saya lebih suka membawa bekal makanan dari rumah. Pakaian sekolah juga begitu. Adik beradik saya ramai (9 orang semuanya), pakaian abang-abang saya yang masih elok, saya gunakan semula sehingga benar-benar usang atau koyak. Saya tak kisah langsung, asalkan saya dapat ke sekolah macam orang lain. Bukan saya saja begitu, rakan-rakan lain pun lebih kurang sama, jadi tak timbul soal malu atau rasa rendah diri.

Alhamdulillah, berkat usaha dan doa ayah-ibu dan keluarga, semuanya terbayar sekarang. Kalau nak diceritakan semua mungkin banyak dan tak pandai saya nak susun setiap detik yang saya lalui. Tapi perubahan memang ketara tatkala kita berjaya dalam pelajaran. Kerjaya yang diperolehi selepas tamat pengajian di Unversiti amat-amat membantu apa yang kita perolehi sekarang. Semua ini adalah rezeki dari Allah dan ujian daripadaNya. Siapa sangka, dahulu saya hanya dapat bermimpi sahaja untuk memiliki apa yang saya ada sekarang.

Kadangkala saya cuba juga untuk bercerita dengan anak-anak untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada mereka, namun dari reaksi spontan mereka, seakan-akan mereka tak dapat membayangkan keadaan sebenar ketika itu. Anak-anak sekarang memang macam ni, semuanya tersedia di depan mata.

Semoga pengalaman dan kisah-kisah lalu terus memberi pengajaran dan pedoman untuk kita harungi hari-hari yang mendatang dengan penuh keinsafan di bawah lindungan rahmat Allah yang maha Esa. Sesungguhnya rezeki yang melimpah ruah diberikan oleh Allah adalah ujian semata-mata. Hendaknya sikap memberi, berzakat dan bersedekah menjadi amalan kita yang mampu, insyaAllah.

Categories: Pendidikan Tags:

Was-Was

February 25th, 2008 md No comments

Was-was kalau ditakrifkan dalam bahasa mudah membawa maksud keadaan yang keliru, buntu, ragu-ragu dan tidak mempunyai keputusan yang muktamad.

Banyak perkara yang menjadi was-was bila kita tidak cukup ilmu dan pegangan (pengalaman) yang kukuh. Terutama bila melibatkan perkara yang bersangkutan dengan syariah dan muamalat.

Baru-baru ini, saya ditawarkan oleh seorang pegawai bank yang sedang memproses permohonan pinjaman perumahanan untuk rumah yang saya  ingin beli di Kg. Datuk Keramat. Beliau menawarkan sebuah pangsapuri kos rendah di Bandar Baru Ampang dengan harga RM60,000. Penyewa sekarang membayar RM500 untuk sewa bulanan. Memang tawaran yang sangat menarik, kerana harga pasaran pangsapuri di kawasan berkenaan mencecah RM75,000.

Memandangkan rekod kredit saya (CCRIS/CTOS) baik, surat tawaran pinjaman dari “cimbeng islamic” disiapkan tidak sampai sebulan pun. Saya semak jadual bayaran bulanan (RM307 tahun pertama, RM426 tahun kedua dan RM467 tahun ketiga dan seterusnya), terma dan syarat pinjaman lalu saya “sign” surat tawaran tersebut.

2-3 hari selepas itu, kebetulan isteri saya ada temujanji pemeriksaan kandungan (hehehe.. bayi ke 5 kami :) ) di hospital Ampang Puteri, jadi saya ajak beliau untuk tinjau “property” yang saya dapat tu selepas pemeriksaan beliau berakhir. Kami pun menyusuri jalan Ampang untuk ke Bandar Baru Ampang, mencari Apartment Sri Nilam dan bertemu dengan lokasi blok apartment yang kami cari.

Sebaik selamat memakir (park) kereta, kami pun mencari-cari lif untuk naik ke tingkat 11 apartment berkenaan. Keadaan sekeliling saya fikir sama saja di mana-mana apartment kos rendah. Tidak bersih, berbau, dan laluan yang sempit. Alangkah tidak selesa jika kediaman kami sekeluarga di tempat sebegini, bersyukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah rezeki dan rahmatnya, kami dapat tinggal di tempat yang lebih selesa dan teratur.

Dipendekkan cerita, akhirnya kami berjumpa juga dengan apartment yang dicari. Nampak bersih di luar, jeriji besi telah siap terpasang. Usia apartment ni, lebih kurang 6 tahun, jadi masih baik keadaannya. Memandangkan tiada penghuni ketika itu (waktu bekerja), jadi isteri saya bertanyakan jiran sebelah yang kebetulan sedang memasak. Kami bertanya adakah penyewa di situ? sebab nampak tiada kasut atau selipar di luar rumah. Jiran tersebut tidak pasti sebab setahu beliau, rumah tersebut tiada penghuni. Terus perasaan saya mula risau. Mengikut maklumat yang diberitahu oleh pegawai bank yang menawarkan rumah berkenaan, telah ada penyewa yang membayar RM500 sebulan di rumah berkenaan. Itu yang membuatkan saya berminat.

Saya segera menghubungi pemilik apartment berkenaan untuk mengetahui situasi sebenar. Rupa-rupanya, apartment beliau disewa oleh sebuah pemaju projek perumahan (katanya) sejak dari awal mendapat kunci lagi. Sewa bulanan sekitar RM400 sahaja, ditolak dengan kos penyelenggaraan apartment, dapatlah sekitar RM350 sebulan. Sekali lagi, hati saya berasa was-was untuk meneruskan niat membeli apartment ini. Apa tidaknya, bayaran bulanan bermula tahun ketiga pinjaman perumahan nanti dalam RM470 sebulan. Jika dapat naikkan sewa selepas 2 tahun sekalipun, saya tak fikir boleh dapat untung. Biasalah, pinjaman islamik kadar keuntungan yang ditetapkan oleh bank lebih tinggi berbanding pinjaman konvensional.

Balik dari tinjauan lokasi, saya dan isteri memutuskan untuk menolak tawaran tersebut walaupun “offer letter loan” telahpun saya perolehi. Mungkin bukan rezeki kami kali ini. Saya telahpun memberitahu rakan-rakan lain yang berminat, kalau-kalau mereka ingin membuat pelaburan. Ada orang yang sanggup simpan sementara aset seperti ini dan akan dijual semula beberapa tahun akan datang dengan harga yang lebih tinggi. Saya tak sanggup tunggu selama itu. Jenis pelaburan yang saya cari ialah mempunyai pulangan segera yang halal :)

Categories: Pengurusan Kewangan Tags:

Senarai Penamaan Calon Pilihanraya ke 12

February 24th, 2008 md No comments

Jika anda ingin mengetahui senarai penuh calon-calon yang bertanding pada pilihanraya umum ke 12, sila layari laman web berikut – Senarai Calon Pilihanraya Umum ke 12

Categories: Umum Tags: