Entri ni agak terlewat, tapi saya ingin kongsikan sedikit pengalaman aktiviti konvoi bersama rakan motorsikal saya ke Lumut pada 29 & 30 Disember tahun lepas.
Kumpulan permotoran yang saya sertai ini dikenali sebagai Brotherhood Motor Group (BMG). Kami sering mengadakan aktiviti berkonvoi bersama-sama ke destinasi-destinasi menarik di seluruh tanah air. Biasanya destinasi akan ditentukan bergantung kepada jangkamasa cuti yang boleh diambil oleh para peserta. Jika pendek cuti yang ada, jadi jarak destinasi yang kami pergi juga berdekatan sahaja.
Konvoi ke Lumut sebenarnya tidak dirancang. Kami sebenarnya ingin pergi ke Cherating, namun disebabkan hujang lebat yang tidak menentu, dan khuatir amaran banjir yang berlaku, pertukaran rancangan dibuat pada saat-saat akhir. Memandangkan peserta sudah bersedia untuk berkonvoi, maka pilihan yang paling selamat ialah ke Pantai Barat semenanjung.
Pagi 29 Disember, kami berkumpul di stesen Shell Taman Melati (lebuhraya MRR2 menghala Gombak) seawal jam 8 pagi. Sepertimana biasa, mesti ada peserta yang tiba lewat. Kami hanya dapat bergerak selepas jam 9.30 pagi, itu pun bukan ke destinasi yang dirancang, tetapi ke bengkel motorsikal di Jalan Ipoh memandangkan seorang peserta mengalami masalah kebocoran minyak enjin pada motorsikalnya.
Setelah selesai baik pulih dilakukan, kami bergerak ke Kuala Selangor untuk bertemu dengan 3 lagi rakan lain yang menunggu di sana. Tiba di Kuala Selangor, jam sudah menunjukkan pukul 3 petang. Setelah berehat seketika dan mengisi minyak motorsikal masing-masing, kami meneruskan perjalanan ke Sekinchan melalui Tanjung Karang untuk berhenti makan tengahari.
Lebih kurang jam 4 petang, kami meneruskan lagi perjalanan ke Sabak Bernam pula untuk berhenti solat asar (jamak) dan mengisi minyak. Dari Sabak Bernam, perjalanan diteruskan merentasi sawah padi yang cantik untuk ke Seri Manjung, Perak. Kami tiba di stesen Shell Seri Manjung lebih kurang jam 6 petang untuk mengisi minyak dan berehat seketika.
Ketika hampir untuk bergerat ke Pantai Teluk Batik, seorang “bikers” dari Manjung Bikers Club telah menghampiri kumpulan kami. Beliau mempelawa untuk menunjukkan jalan untuk ke Lumut kerana pada hemat beliau, Teluk Batik agak sunyi sepi pada malam hari. Kami bersetuju dengan cadangan beliau, dan segera untuk bergerak ke pekan Lumut.
Sampai di pekan Lumut, waktu sudah hampir maghrib. Seorang rakan kami bersama bikers dari Manjung tadi telah pergi untuk mencari hotel tempat kami menginap. Alhamdulillah, tak lama selepas itu, beliau memaklumkan telah berjaya mendapatkan hotel dengan kos RM31 seorang (berkongsi bilik – 2 katil sebilik).
Malamnya, selepas mandi dan solat, kami keluar untuk makan malam di restoran berdekatan Jeti Lumut. Agak mengecewakan, kerana perkhidmatan restoran (Bistro) berkenaan tidak baik menyebabkan ada di antara makanan/minuman yang dipesan tidak sampai walaupun selepas 45 minit menunggu. Terpaksalah kami singgah pula ke restoran mamak berhampiran untuk mencari apa yang boleh dimakan, memandangkan waktu pun sudah lewat malam (banyak restoran biasa sudah tutup).
Keesokan harinya, selepas bersarapan, kami sempat bersiar-siar di sekitar pekan Lumut sambil membeli ole-ole untuk dibawa pulang. Sekitar pukul 12 tengahari, kami pun bersiap-siap untuk check-out dan bersedia untuk berlepas ke Pantai Teluk Batik. Sekali lagi, apabila sampai di Teluk Batik, agak mengecewakan kerana motorsikal kami tidak dibenarkan parkir sebentar di chalet berdekatan melainkan kami membayar wang untuk memarkir kenderaan. Oleh kerana tujuan kami bukanlah untuk mandi-manda di pantai berkenaan, jadi kami terus bergerak menuju destinasi berikutnya.
Kami tiba di pekan Seri Iskandar untuk makan tengahari. Sekitar jam 3 petang, seorang peserta konvoi mencadangkan untuk membatalkan hasrat ke Gua Tempurung kerana waktu telah lewat. Setelah berbincang, kami bersetuju untuk pulang terus ke Kuala Lumpur menggunakan lebuhraya PLUS.
Perjalanan melalui lebuhraya agak membosankan kerana jalan yang lurus dan banyak kenderaan yang laju cuba memotong deretan konvoi kami. Kami berhenti di dua perhentian – Tapah dan Ulu Bernam sebelum berpecah untuk pulang ke rumah masing-masing.
Secara amnya, konvoi ini telah berjaya dijalankan tanpa sebarang masalah yang besar dan semua peserta berasa puas dengan pengalaman yang dilalui bersama. Sejumlah 604KM telah dilalui sepanjang konvoi ini seperti yang direkodkan oleh meter motorsikal saya.
Gambar-gambar boleh dilihat di sini
Recent Comments