Sekolah Islam
Akhir-akhir ini, ibu-bapa semakin berminat untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah beraliran Islam sepenuhnya untuk mempastikan anak-anak terdidik dengan pengetahuan dan bimbingan islam sejak dari awal lagi.
Menyedari kepentingan pemupukan nilai murni sejak dari awal ini, saya dan isteri ingin memulakan langkah yang betul dengan menghantar 2 anak kami (sebagai beta tester) ke sekolah rendah Islam di Bandar Baru Bangi. Alangkah terkejutnya kami, apabila semua kelas untuk tahun 1 telah penuh. Yang tinggal hanyalah untuk tahun 5 dan 6 sahaja. Senarai menunggu juga panjang. Jadi hanya seorang sahaja anak saya yang akan masuk tahun 5 dapat tempat di sekolah berkenaan.
Nampaknya sambutan ibu-bapa sangat menggalakkan walaupun bayaran persekolahan untuk 1 tahun berjumlah RM3,840.00 seorang. Saya cuba juga untuk memohon pertimbangan dari pentadbiran sekolah, agar menerima anak saya yang ingin masuk ke tahun 1, memandangkan abangnya akan bersekolah di sana. 15 Disember 2007 nanti, keputusan akan diketahui. Saya harap, dapatlah anak-anak saya masuk ke sekolah berkenaan.
Walaupun kos seorang anak belajar di sekolah swasta agak tinggi, saya fikir ianya tidak boleh dinilai dengan hasil yang diharapkan ibu-bapa iaitu inginkan anak-anak mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Namun, bimbingan ini tidak harus tamat di sekolah sahaja, di rumah, dalam masyarakat dan pergaulan seharian. Semoga satu hari nanti, generasi yang terdidik dengan sahsiah islamiah dapat membendung gejala negatif muda-mudi hari ini.
Recent Comments