Archive

Archive for December, 2007

Belajar Lagi

December 27th, 2007 md No comments

Semalam ialah hari pendaftaran pelajar lepasan siswazah UKM. Hampir 1 hari saya di sana untuk uruskan pendaftaran program pengajian saya secara tesis. Harap-harapnya, semuanya akan berjalan lancar. Maklumlah, lagi lama tertinggal bidang akademik ni, lagi berkarat minda kita.

Tempoh pengajian minima ialah 6 semester, dan maksima 14 semester. Semuanya masih baru bagi saya, memang ada sedikit persediaan dan perancangan yang dibuat, tapi bila berada dalam situasi sebenar, ianya sedikit mendebarkan. Berdebar bukan kerana takut dengan kegagalan, berdebar kerana keputusan yang telah dibuat untuk belajar lagi.

InsyaAllah, berkat doa ibu bapa, isteri, anak-anak dan ahli keluarga, saya akan harungi cabaran yang mendatang.

Categories: Pendidikan Tags:

Banjir

December 22nd, 2007 md No comments

Hari Raya Korban dah pun berlalu. Alhamdulillah, banyak juga lihat masjid dan surau-surau anjurkan upacara korban. Ramai juga warga KL tak balik beraya, termasuklah saya sekeluarga.

Ya lah, nak balik kampung di Kuantan, risau pulak tengok berita kat TV, jalan tutup sana, tutup sini. Malah, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pun ada yang terputus hubungan. Terpaksalah sambut raya di KL saja kali ni. Mak mertua pulak beraya di rumah anak perempuan mereka di Pontian. Bertambahlah sepi raya kali ni. Nasib baik ada juga rumah ipar duai yang berdekatan, bolehlah bertandang mengubat rindu pada sanak saudara.

Banjir kali ni nampaknya tak dapat dijangka. Hujan yang kadangkala lebat kadangkala renyai sukar diramal kesannya. Di KL masih OK, tapi di negeri-negeri Pantai Timur, Johor, Kedah dan beberapa daerah di Sarawak telahpun terkena ujian Allah ni. Diharapkan semoga ujian ini dapat diharungi dengan penuh sabar.

Cuti sekolah pun dah nak habis, persediaan untuk ke sekolah pun dah hampir siap. Tiap-tiap hujung tahun macam ni lah cabaran jadi ibu-bapa. Belanja persekolahan anak-anak memang memeningkan kepala jika tak dirancang betul-betul. Namun, demi masa depan mereka, semua ni tak jadi alasan untuk ibu-bapa mengeluh panjang. Asalkan mereka mendapat yang terbaik, dan selagi mampu kita cuba sediakan, insyaAllah.

Kepada yang masih bercuti menghabiskan saki-baki tahun 2007, selamat bercuti dan semoga anda sentiasa sihat dan selamat di samping keluarga tercinta. Kepada yang tetap setia meneruskan tugas di pejabat dan di mana sahaja, teruskan bakti anda. Semoga tahun 2008 akan memberikan lebih kejayaan kepada kita semua.

Categories: Umum Tags:

Haji Mabrur

December 11th, 2007 md No comments

2.30 pagi tadi (11 Disember 2007), kedua-dua ibu dan ayah saya telah pun berangkat ke Tanah Suci Mekah dengan penerbangan KT91 – SV5007.

Semoga ibu dan ayah saya serta jemaah haji yang lain akan sentiasa berada dalam rahmat Allah, dipelihara kesihatan mereka dan beroleh haji yang mabrur, insyaAllah.

Categories: Umum Tags:

ASB – Halal atau Haram?

December 5th, 2007 md 10 comments

Saya fikir ramai di antara kita yang berminat untuk “membebaskan diri” dari masalah kewangan. Ramai juga yang mengikuti pelbagai kursus dan seminar tentang teknik-teknik untuk keluar dari masalah kewangan.

Yang terbaru saya temui ialah menggunakan ASB dan kemudahan Overdraf (OD) untuk merancang kebebasan kewangan peribadi. Saya ambil masa kira-kira 2 minggu untuk mengkaji dan mempelajari dari rakan-rakan yang mahir dalam hal ini untuk mengetahui teknik yang mereka gunakan. Memang tidak dinafikan, pakej ASB/OD ini sangat-sangat menggamit nafsu.

Apa tidaknya, simpanan anda dalam akaun ASB tidak terusik, namun anda diberikan “instant fund” yang boleh digunakan untuk menguruskan kewangan anda, baik untuk melangsaikan hutang, membuat pelaburan jangka pendek (seperti membeli saham, membeli benih tanaman, dll.) juga sebagai cara untuk membayar pinjaman ASB yang baru!. Semuanya dibuat menggunakan wang dari akaun OD anda. Bagaimana pula ianya menguntungkan?.

Atas perkiraan mudah dividen dan bonus ASB setiap tahun mencapai 8% berbanding dengan kadar faedah Overdraf sekitar BLR (Base Lending Rate semasa 6.75%) + 0% (tawaran terbaik dari sebuah bank merah-biru) maka secara congaknya, anda akan mempunyai margin keuntungan sekitar 1~1.50 % untuk tempoh 1 tahun. “Keuntungan” ini digunakan untuk membayar kembali kadar faedah tahunan overdraf yang telah digunakan sebelum ini.

Banyak forum dan blog yang menceritakan secara terperinci langkah-langkah bagaimana anda boleh gunakan teknik ini untuk memenuhkan akaun ASB anda (RM200K) dan dalam masa yang sama dapat membina kekayaan melalui pelaburan hartanah, perkhidmatan, pertanian dan perniagaan yang anda ingin ceburi. Ada juga yang menggunakan “keuntungan” ini untuk membeli kenderaan idaman mereka. Mereka akan tersenyum lebar membayar ansuran bulanan yang kurang dari jumlah dividen ASB atas pelaburan RM200K (sekitar RM16K setahun jika dikira atas dividen 8%)

Namun persoalan utama yang menjadi faktor penghalang saya meneruskan kaedah ini ialah berkenaan fatwa ASB itu sendiri adakah pelaburannya menurut syariah atau tidak. Carian ringkas (quick search) menemui beberapa jawapan yang cukup untuk memberi panduan untuk saya:

Persatuan Ulama’ Malaysia

Fatwa Negeri Selangor

Forum ustaz Zaharuddin

Forum Darulnuman

Perbincangan Isu ASB di Bicarajutawan

Forum perbincangan Sambest

Setelah membaca ulasan-ulasan dan pendapat-pendapat dari mereka yang arif, saya fikir bolehlah kita “Tepuk dada tanya Iman” :)

*** KEMASKINI ***

Majlis fatwa kebangsaan memutuskan Hukum melabur dalam ASB/ASN ialah Harus – rujuk posting ini (klik)

Categories: Pengurusan Kewangan Tags:

Sekolah Islam

December 5th, 2007 md No comments

Akhir-akhir ini, ibu-bapa semakin berminat untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah beraliran Islam sepenuhnya untuk mempastikan anak-anak terdidik dengan pengetahuan dan bimbingan islam sejak dari awal lagi.

Menyedari kepentingan pemupukan nilai murni sejak dari awal ini, saya dan isteri ingin memulakan langkah yang betul dengan menghantar 2 anak kami (sebagai beta tester) ke sekolah rendah Islam di Bandar Baru Bangi. Alangkah terkejutnya kami, apabila semua kelas untuk tahun 1 telah penuh. Yang tinggal hanyalah untuk tahun 5 dan 6 sahaja. Senarai menunggu juga panjang. Jadi hanya seorang sahaja anak saya yang akan masuk tahun 5 dapat tempat di sekolah berkenaan.

Nampaknya sambutan ibu-bapa sangat menggalakkan walaupun bayaran persekolahan untuk 1 tahun berjumlah RM3,840.00 seorang. Saya cuba juga untuk memohon pertimbangan dari pentadbiran sekolah, agar menerima anak saya yang ingin masuk ke tahun 1, memandangkan abangnya akan bersekolah di sana. 15 Disember 2007 nanti, keputusan akan diketahui. Saya harap, dapatlah anak-anak saya masuk ke sekolah berkenaan.

Walaupun kos seorang anak belajar di sekolah swasta agak tinggi, saya fikir ianya tidak boleh dinilai dengan hasil yang diharapkan ibu-bapa iaitu inginkan anak-anak mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Namun, bimbingan ini tidak harus tamat di sekolah sahaja, di rumah, dalam masyarakat dan pergaulan seharian. Semoga satu hari nanti, generasi yang terdidik dengan sahsiah islamiah dapat membendung gejala negatif muda-mudi hari ini.

Categories: Umum Tags:

Bermula Lembaran Baru

December 1st, 2007 md No comments

Assalamualaikum semua netters,

Selamat bertamu di laman blog saya yang tak seberapa ini.

Pernah beberapa kali saya menulis blog sejak tahun 2002, tapi kebanyakan tidak kekal dan sering berubah-ubah laman webnya. Kali ini, saya membuat azam baru (biasanya azam baru dibuat awal tahun :) ) untuk menjadikan penulisan suatu hobi serius. Oleh itu, saya membeli domain dan hosting berbayar setelah sekian lama menggunakan kemudahan “percuma”.

InsyaAllah, saya akan cuba menulis setakat yang termampu bila ada idea dan ulasan yang ingin dikongsikan. Komen dan sokongan anda amatlah saya hargai.

Selamat atas segalanya :)

Categories: Umum Tags: